Kopi paling mahal di dunia ada di Dubai, RM4,000 secawan!
ANDA sanggup berbelanja sehingga AS$980 (RM4,044) semata-mata untuk membayar harga secawan kopi?
Jika ya, nampaknya anda kena berkunjung ke Kafe Julith yang terletak di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk merasai sendiri kopi paling mahal di dunia, Nido 7 Geisha.
Bagi penggemar kopi, mungkin nilai sebegitu tidak seberapa, lebih-lebih lagi kopi dinikmati itu dijual di kafe yang terletak di salah satu bandar raya paling mahal di dunia.

Selain lokasi Kafe Julith yang terletak di kota mewah, kualiti kopi Nido 7 Geisha yang digunakan juga menjadi salah satu faktor mempengaruhi harga kopi tersebut.
Menurut laporan oleh Gulf Today, kopi yang digunakan dibru daripada biji kopi Panama yang sememangnya dikenali kerana kualitinya dengan harga premium.
Menurut pengasas bersama Kafe Julith, Serkan Sagsoz, kopi Nido 7 Geisha bukan sahaja mempunyai cita rasa premium, tetapi memiliki aroma serta nota rasa bunga dan buah-buahan.
MENARIK DIBACA: [V] Rosnah Johari masih kekal cantik di usia 62 tahun, amal suplemen sejak muda
MENARIK DIBACA: Masak lemak labu dan bayam, anak-anak 'liat' makan sayur mesti suka!
"Kopi Nido 7 Geisha mempunyai aroma seperti bunga melur, oren, bergamot, aprikot dan buah pic.
"Rasa manisnya pula semula jadi seakan-akan madu," katanya.
Ujarnya lagi, biji kopi dari Panama yang digunakan dibeli terus oleh Kafe Julith menerusi satu acara bidaan yang turut disertai ramai pembida lain serta peminat kopi di Panama.

Dalam acara tersebut, Kafe Julith berjaya membeli biji kopi Panama seberat 20 kilogram yang dijual pada harga AS$604,080 (RM2.4 juta).
Biji kopi Nido 7 Geisha dijual pada harga yang tinggi kerana ditanam di kawasan ladang terletak berhampiran dengan kawasan gunung berapi.