Mukbang ekstrem bawa padah... Gigi Tzuyang semakin haus, terpaksa pasang ‘crown’
TABIAT pemakanan yang tidak seimbang bukan sahaja mampu memudaratkan kesihatan tetapi merosakkan gigi.
Itu juga yang terjadi kepada Youtuber mukbang asal Korea Selatan iaitu Tuzyang yang mendedahkan terpaksa menjalani pembedahan gigi akibat tabiat pemakanan ekstrem.
Memetik laporan Koreaboo, Tzuyang berkata lapisan giginya menipis akibat terlalu kerap mengunyah makanan dalam kuantiti besar setiap hari.

Disebabkan itu giginya seperti terhakis dan menjadi pendek dan terpaksa melakukan rawatan memasang 'crown' bagi melindungi giginya.
"Gigi saya semakin 'haus' kerana digunakan untuk makan terlalu kerap.
"Ia semakin pendek dan doktor mencadangkan saya menjalani prosedur rawatan sebelum keadaannya menjadi lebih teruk," katanya dalam sebuah vlog terbaharu.
MENARIK DIBACA: Makan perlahan kurangkan risiko obesiti sebanyak 45 peratus
MENARIK DIBACA: Asyik kejar views, sampai melayang nyawa... 5 ‘mukbangers’ popular ini maut akibat makan berlebihan
Tegasnya, rawatan tersebut bukan dilakukan untuk tujuan kecantikan seperti dakwaan segelintir sebaliknya demi kesihatan.
"Saya buat ini untuk kesihatan, bukan untuk cantik! Ramai kata saya buat pembedahan plastik, tapi itu tidak benar," kongsinya.
Tzuyang sebelum ini mendedahkan mampu mengambil sehingga 30,000 kalori sehari, jumlah yang jauh melebihi keperluan harian normal orang dewasa, iaitu sekitar 2,000 hingga 3,000 kalori.

Malah, kalori yang terdapat dalam minuman hariannya sahaja hampir setara dengan pengambilan harian indiviu normal.
Fenomena mukbang sejak beberapa tahun kebelakangan ini menyaksikan ramai pencipta kandungan berdepan komplikasi kesihatan serius malah ada membawa kepada kematian.
Untuk rekod, Tzuyang mempunyai 13 juta pengikut di saluran YouTube.