Asyik kejar views, sampai melayang nyawa... 5 ‘mukbangers’ popular ini maut akibat makan berlebihan
TREND mukbang atau makan secara berlebihan di hadapan kamera bukanlah suatu lagi perkara asing pada hari ini.
Fenomena tercetus di Korea Selatan sekitar tahun 2010 itu kini menjadi pilihan 'pekerjaan' dalam kalangan pempengaruh bagi meraih pendapatan dan pengikut di media sosial.
Mukbang merupakan gabungan daripada dua perkataan bahasa Korea iaitu 'meongneun' yang bermaksud makan dan 'bangsong' iaitu penyiaran.

Daya tarik utama aktiviti mukbang terletak pada kuantiti makanan bersama elemen ASMR (Autonomous Sensory Meridian Response) seperti suara gigitan dan mengunyah makanan, menimbulkan kepuasan dan tarikan visual kepada penonton.
Budaya tidak sihat itu menimbulkan kebimbangan masyarakat apabila beberapa kes kematian melibatkan pempengaruh mukbang dilaporkan akibat komplikasi kesihatan ekoran tabiat makan secara berlebihan.
Kuali senaraikan beberapa nama pencipta kandungan konten mukbang terkenal dunia yang berakhir dengan kematian akibat makan secara tidak terkawal.

1. Pan Xiaoting
Pan Xiaoting berusia 24 tahun apabila dia meninggal dunia tahun lalu akbiat pengambilan makanan secara berlebihan.
Lebih tragis, Xiaoting yang juga bekas pelayan restoran meninggal dunia ketika sedang melakukan video secara langsung di media sosialnya.
Oddity Central melaporkan Xiaoting memulakan kerjaya sebagai mukbanger profesional sejak tahun 2020 mengalami sesak nafas sebelum meninggal dunia ketika dirawat di sebuah hospital.
Hasil bedah siasat doktor menunjukkan perutnya dipenuhi dengan makanan tidak hadam dengan sempurna selain terdapat kecederaan teruk pada ususnya.

2. Dongz Apatan
Influencer dari Filipina ini maut selepas mengalami serangan angin ahmar ketika membuat video siarang langsung pada Jun lalu.
The New Paper melaporkan, Apatan, 38 tahun tiba-tiba rebah ketika sedang asyik makan ayam goreng bersama nasi dalam kuantiti yang banyak.
MENARIK DIBACA: Kalau suka makan manis penyayang orangnya, ini 6 kategori makanan ‘cermin’ personaliti anda
MENARIK DIBACA: Burger nyamuk makanan mewah di Afrika, 7 kali ganda lebih banyak protein
Hasil bedah siasat mendapati, tekanan darah Apatan meningkat secara mendadak sehinga menyebabkan saluran darah di bahagian otaknya pecah.
Ini disebabkan pengambilan garam dan protein yang tidak terkawal.
Bagaimanapun ramai gembira dengan berita kematiannya apabila menyifatkan mendiang sebagai seorang yang sombong dan tamak.

3. Efecan Kultur
Efecan meninggal dunia pada usia 24 tahun disebabkan komplikasi masalah kesihatan dan obesiti.
Sedar masalah obesiti dialaminya, Efecan tetap menghasilkan video mukbang kerana pendapatannya lumayan.
Malah pemuda yang memiliki berat 300 kilogram itu tetapi menghasilkan video walaupun ketika sakit dan terlantar di katil.
Efecan bagaimanapun meninggal dunia pada Mac lalu akibat serangan jantung.

4. Callejas 503
Bintang mukbang asal El Salvador bernama Callejas 503 meninggal dunia pada Jun 2024 akibat komplikasi pelbagai penyakit berkaitan obesiti.
Menurut laporan Dailymail.co, punca kematian lelaki berusia 37 tahun itu bagaimanapun tidak didedahkan oleh ahli keluarganya.
Namun, ramai pengikutnya percaya punca kematian lelaki itu tidak lain akibat daripada aktiviti mukbang yang dilakukannya.
Setiap kali berkongsi video mukbangnya, Callajes akan makan dalam kuantiti yang sangat banyak dan mampu menghabiskannya tanpa sebarang sisa.

5. Harris Wolobah
Berbeza dengan kes kematian melibatkan Harris Wolobah dari Amerika Syarikat, remaja berusia 14 tahun asal Massachusetts itu dilaporkan maut selepas menyertai trend makan kerepek paling pedas di dunia.
Menurut laporan MailOnline, kejadian pada September 2023 itu berlaku selepas Wolobah menyertai cabaran yang dipanggil 'One Chip Challenge'.
Wolobah dikatakan mengalami sakit perut selepas beberapa jam menyertai cabaran tersebut sebelum mengalami masalah pernafasan dan tidak sedarkan diri.
Dia dibawa ke hospital oleh ibunya bagaimanapun disahkan meninggal dunia tidak berapa lama kemudian.
‘One Chip Challenge’ merupakan strategi pemasaran di mana sekeping cip tortilla diiklankan sebagai paling pedas di dunia.
Ia dikilangkan sebuah syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Paqui pada 2016 dengan 10 rasa berbeza termasuk California Reaper Pepper dan Naga Viper Pepper.