[V] Ibu Ruby's tawar hidangan Indonesia autentik, keenakan sate Maranggi sampai termimpi-mimpi
SIAPA kata nak rasa hidangan Indonesia yang autentik perlu terbang beribu batu jauhnya?
Tak perlu susah-susah, di Bangsar pun sudah ada restoran yang menawarkan masakan Indonesia lazat, cukup untuk mengubati kerinduan anda!
Hidangan disediakan di Restoran Ibu Ruby's ini dihasilkan dengan penuh teliti dari segi rasa agar memenuhi cita rasa penggemar menu asli Nusantara itu.
Di sini, pelbagai jenis sate terkenal dari Indonesia menanti anda, antaranya Sate Sapi Maranggi dan Sate Ayam Madura.

Daging Sate Sapi Maranggi lembut dan juicy, seolah-olah perapan rempahnya menyerap sampai ke tengah serat daging.
Setiap gigitan ada rasa manis berempah dengan sentuhan smokey yang menjadikan satenya begitu memikat.
Dipadankan dengan acar buah masam, kombinasi ini menjadikan sate bukan sahaja lazat tetapi unik.
Versi Madura pula lebih ringan tapi tetap kaya dengan rasa.
MENARIK DIBACA: Mango bingsu di kafe ini antara paling popular, rasanya memang sedap!
MENARIK DIBACA: Lima 'street food' wajib serbu kalau ke Pulau Pinang
Ayamnya empuk dengan permukaan sedikit karamel hasil perapan manis pedas yang melekat.
Sambal kacangnya pekat dengan aroma kacang sangai serta ada sedikit rasa pedas yang cukup untuk menaikkan selera.
Pencinta Nasi Ambeng, jangan lepaskan peluang untuk merasai keenakan Nasi Ambeng Surabaya yang padat dan meriah dengan lauk-pauk menyelerakan.
Gabungan ayam bakar, gado-gado, mi goreng, terung balado serta nasi kuning mungkin kedengaran keterlaluan tetapi itulah yang menjadi sajian ini istimewa.

Watak utama semestinya ayam bakar yang sarat dengan lapisan rasa rempah smokey yang member kepuasan.
Lain daripada yang lain, Soto Ayam Ambengan menyajikan kuah jernih keemasan ringan, tetapi sarat dengan aroma bawang putih, kunyit dan serai.
Kombinasi kuah yang harum, ayam lembut dan bihun yang menyerap rasa menjadikan ia satu sajian yang sempurna.
Kalau dah makan hidangan Indonesia, Es Teler memang menu pencuci mulut wajib anda cuba.

Gabungan nangka manis, avocado berkrim dan kelapa muda dalam santan sejuk menyegarkan tekak.
Rasanya manis semula jadi dan berlemak lembut, sempurna sebagai penutup selepas menikmati hidangan penuh rempah.
Lokasi: 1, Persiaran Ara Kiri, Bangsar, 59100 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Waktu operasi: 10.30 pagi hingga 10.30 malam