[V] “Arwah mak malu kalau orang perempuan tak pandai masak” - Fauziah Ahmad Daud
TIDAK hanya dikenali kerana bakat sebagai pelakon, penyanyi dan pengacara, Fauziah Ahmad Daud turut berkebolehan memasak sehingga menjadikan ia sebagai sumber pendapatan.
Fauziah atau mesra disapa Kak Ogy, 63, berkata, bakat di dapur itu diwarisi daripada kedua orang tuanya iaitu Allahyarham Seniman Datuk Ahmad Daud dan Allahyarham Seniwati Datin Saadiah.
"Walaupun berstatus anak kepada bintang tersohor, saya tetap diajar ilmu di dapur oleh orang tua sejak saya berusia 15 tahun.
"Arwah ibu sering menegaskan anak perempuan perlu tahu memasak dan ia perkara memalukan jika tidak pandai melakukan kerja-kerja dapur," kongsinya kepada Kuali.

Berkongsi resipi pertama yang diajar ibunya, Kak Ogy memberitahu sambal belacan adalah menu pertama dipelajarinya.
"Masakan pertama yang diajar ialah suruh tumbuk sambal belacan," ujarnya.
Tambah pelakon filem Ali Setan itu lagi, dunia dapur sebenarnya sangat dekat dalam dirinya kerana sejak kecil dia sering membantu neneknya berniaga dengan menjual pelbagai jenis makanan di Singapura.
MENARIK DIBACA: Bukan terus masuk peti sejuk, ini cara simpan lobak merah... Tahan segar sampai sebulan
MENARIK DIBACA: [V] Warong Lubok Talam 'port' tersembunyi pencinta lauk kampung dan kaki pancing
Dari situ, minatnya dalam bidang masakan mula timbul, malah gembira apabila disuruh ke dapur untuk belajar memasak.
"Dia (nenek) menjual sarapan pagi seperti kuih lopes, nasi lemak Singapura yang dimakan bersama ikan selar kuning, mi siam berkuah dan lontong bersama serunding.
"Saya tengok dengan mata saya sendiri kesungguhan arwah nenek sehingga menarik minat saya untuk belajar memasak," tegasnya.

Berkongsi antara masakan air tangan orang tuanya yang paling diingati, pemenang anugerah Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) kali ke-6 itu memberitahu kedua-duanya memiliki kepakaran berbeza dalam masakan.
"Arwah ibu akan ajar saya masakan Singapura, manakala arwah bapa pula masakan dari utara seperti kari dan asam laksa.
"Ayah sangat marah kalau laksa ada diletak telur rebus sebab katanya laksa sebenar tidak ada telur. Mengarut katanya.
"Tapi paling saya rindu ialah resipi sambal tumis sotong dan sambal goreng air tangan ibu," katanya.