Bukan terus masuk peti sejuk, ini cara simpan lobak merah... Tahan segar sampai sebulan
RAMAI orang menyangka menyimpan lobak merah terus di dalam peti sejuk dapat memastikan kualitinya bertahan lama.
Bagaimanapun, kaedah itu hanya mempercepatkan lobak merah bertukar layu, lembik atau berlendir meskipun baru beberapa hari dibeli.
Terdapat teknik lebih berkesan untuk mengekalkan kesegaran lobak merah sehingga sebulan, iaitu dengan menyimpannya di dalam air.
Cara ini membantu mengekalkan kelembapan semula jadi lobak merah, sekali gus memastikan teksturnya kekal rangup lebih lama.

Air bertindak sebagai pelindung yang menghalang lobak merah daripada kehilangan cecair serta mengurangkan pendedahan kepada udara yang boleh mempercepatkan proses pembusukan.
Caranya mudah seperti berikut:-
1. Masukkan lobak merah ke dalam bekas atau balang bersih
2. Isikan air sehingga keseluruhan lobak merah terendam.
3. Tutup bekas dengan rapat dan simpan di dalam peti sejuk.
MENARIK DIBACA: Ada 5 petua pilih bawang, penentu keenakan masakan
MENARIK DIBACA: Elak melekat dan lembik, rebus mi laksa pun ada teknik
Kaedah ini juga sesuai bagi lobak merah yang sudah dihiris atau dipotong.
Begitu pun, air rendaman tidak boleh dibiarkan terlalu lama.
Air perlu ditukar setiap 4 hingga 5 hari bagi mengelakkan pembiakan bakteria dan bau tidak menyenangkan.