Cara buat kuih kasturi 'anti gagal'! Mudah, tak rumit seperti disangka
KUIH kasturi antara manisan tradisional Melayu yang cukup digemari ramai, terutama bagi penggemar sajian berasaskan kacang hijau.
Rasanya yang manis, tekstur yang lembut di dalam serta salutan tepung yang rangup di luar menjadikan kuih ini sesuai dinikmati sebagai hidangan waktu pagi atau minum petang bersama keluarga.
Selepas digoreng, bahagian luarnya tetap rangup manakala isi kacang hijau di dalamnya kekal lembut.
Bagi yang teringin menikmati kuih tradisional ini, anda boleh cuba membuatnya sendiri di rumah menggunakan bahan-bahan yang mudah didapati.
Jom ikuti resipi kuih kasturi ini seperti yang dikongsikan Dhia Nadia di Facebook miliknya.

Bahan-bahan
Inti kacang
- 500 gram kacang hijau
- 4 sudu besar gula merah
- 1 cawan tepung gandum
- 1 cawan gula pasir
- 1 cawan kelapa parut
- 1 sudu kecil garam
Kulit luar
- 1 cawan tepung beras
- 1/2 cawan tepung jagung
- 1/2 cawan tepung gandum
- 1 sudu besar marjerin
- 1 biji telur
- 1 sudu besar air kapur
- Secubit garam
- Air secukupnya
MENARIK DIBACA: Tauhu bergedil gedempol rangup, padat daging... Kudapan 'simple' tapi nikmat
MENARIK DIBACA: Kuih tradisi, rasa moden! Cuba sebiji, sukar nak berhenti makan klepon inti coklat meleleh
Penyediaan
- Cuci kacang hijau sehingga bersih, kemudian rebus di dalam periuk sehingga empuk. Tos lebihan air dan biarkan kacang sejuk sedikit.
- Masukkan kacang hijau yang telah empuk ke dalam bekas dan lenyekkan sehingga separa hancur.
- Masukkan gula merah, gula pasir, kelapa parut, garam dan tepung gandum ke dalam kacang hijau yang telah dilenyek. Gaul sehingga semua bahan sebati dan adunan boleh dibentuk.
- Ambil sedikit adunan kacang hijau, kemudian bentukkan menjadi bulat dan leperkan. Ulang langkah ini sehingga semua adunan habis.
- Untuk kulit luar, campurkan tepung beras, tepung jagung, tepung gandum dan garam. Masukkan marjerin, telur serta air kapur, kemudian tuangkan air sedikit demi sedikit sambil dikacau sehingga menjadi bancuhan yang tidak terlalu pekat atau cair.
- Celupkan setiap kepingan kacang hijau yang telah dibentuk ke dalam bancuhan tepung sehingga seluruh permukaannya bersalut rata.
- Panaskan minyak, goreng kuih dengan api sederhana sehingga garing berwarna keemasan. Pastikan kedua-dua bahagian masak sekata.
- Angkat kuih kasturi yang telah masak dan tos minyak berlebihan. Biarkan seketika sebelum dihidangkan supaya bahagian luar kekal rangup dan isinya tidak terlalu panas.