Resipi sambal hitam belimbing buluh hanya 4 bahan... Tapi mohon bersabar, proses memasaknya memang lama!
MUNGKIN ramai tidak pernah tahu atau merasai keenakan sambal hitam belimbing buluh yang merupakan juadah istimewa dari negeri Pahang.
Bukan sahaja mempunyai unik tetapi cara pembuatannya juga memerlukan kesabaran bagi mendapatkan rasa yang unik dan enak.
Selain warnanya yang hitam, rasa masam manis buah belimbing buluh dipadukan bersama rasa pedas cili padi membuatkan hidangan ini digemari ramai.
Walaupun hanya menggunakan empat bahan utama sahaja, tapi proses menyiapkan hidangan ini memerlukan kesabaran yang tinggi kerana memakan masa yang lama iaitu sehingga lapan jam!
Adakah anda sanggup? Kalau iya, jom Kuali kongsikan resipi asli dan cara membuat sambal hitam belimbing buluh. Ada masa nanti boleh cuba masak sendiri di rumah.
MENARIK DIBACA: “Ini kerepek ke?” - Pisang goreng nipis buat pembeli bingung, harga pula tak padan dengan rupa
MENARIK DIBACA: Kajian dapati lipas hasilkan susu 3 kali lebih berkhasiat berbanding susu lembu
Bahan-bahan
- Belimbing buluh
- Cili padi (Dikisar kasar)
- Bawang merah (Dikisar kasar)
- Ikan bilis (Ditumbuk kasar)
- Garam
- Gula
- Perasa (Pilihan)
Langkah penyediaan
- Pertama sekali cuci sehingga bersih belimbing buluh dan masukkan ke dalam periuk atau kuali.
- Masak tanpa menggunakan air belimbing buluh selama lebih kurang empat hingga kelima jam sehingga belimbing buluh bertukar warna menjadi gelap kehitaman. Tidak perlu masukkan air kerana belimbing buluh akan mengeluarkan airnya sendiri.
- Kisar kasar bawang merah dan cili padi. Kalau suka pedas boleh lebihkan cili padi. Kemudian tumis bahan kisar tadi sehingga naik bau.
- Kemudian masukkan ikan bilis yang telah ditumbuk kasar ke dalam bahan yang ditumis tadi dan biarkan seketika.
- Masukkan belimbing buluh yang telah direbus dan perasakan dengan garam, gula dan serbuk perasa secukupnya.
- Kecilkan api dan biarkan sambal mengering. Sesekali masakan perlu dikacau supaya tidak hangit.
- Proses ini memang memakan masa yang sangat lama sehingga masakan betul-betul menjadi hitam dan kering.
- Tapi ada juga yang suka sambal hitam belimbing buluh dalam versi sedikit lembab dan berminyak.
- Siap untuk dihidangkan.