Masak bebola kentang udang berkeju bersama anak, idea aktiviti cuti sekolah
AMBIL kesempatan cuti sekolah tidak lama lagi untuk menghabiskan masa berkualiti bersama anak-anak di rumah.
Salah satu aktiviti boleh mengeratkan hubungan sesama keluarga adalah memasak.
Tapi kalau tiada idea hendak masak apa, mak-mak boleh cuba resipi ringkas iaitu bebola kentang bersama udang dan keju.
Penyediaan resipi ini juga senang, melibatkan anak-anak dalam proses pembuatan bebola kentang sambil melatih kemahiran motor halus mereka.
Tambahan keju dalam resipi ini membuatkan setiap gigitan bebola seolah meletup dengan rasa lemak lazat.
Jika mak-mak bimbang anak bermain dengan minyak panas untuk menggoreng, boleh juga gantikan dengan teknik membakar bebola menggunakan ketuhar.
Sesuai dijadikan kudapan minum petang, hidangan ini pasti menjadi kegemaran seisi keluarga.

Bahan-bahan
- 3 biji kentang sederhana, direbus dan dilenyek
- 100g udang, dicincang halus
- 50g keju cheddar, dipotong dadu kecil
- 1 biji telur
- 2 sudu besar tepung gandum
- Garam
- Lada sulah secukup rasa
- Serbuk roti
- Minyak
MENARIK DIBACA: Baunya semerbak satu rumah, ada rahsia buat roti bakar pandan gebu dan rangup
MENARIK DIBACA: Resipi coleslaw salad paling ringkas, enak dimakan bersama ayam panggang
Cara penyediaan
Adunan
- Dalam mangkuk besar, campurkan kentang lenyek, udang cincang dan garam serta lada sulah.
- Masukkan telur dan tepung gandum, gaul hingga sebati.
Bebola
- Guna tapak tangan untuk leperkan adunan.
- Letakkan seketul keju di tengah, tutup dan bulatkan adunan.
- Salutkan bebola kentang dengan serbuk roti.
Goreng
- Panaskan minyak dalam kuali dengan api sederhana.
- Goreng bola kentang hingga keemasan dan garing di luar.
- Angkat dan tos minyak.
Hidang
- Biarkan sejuk sedikit sebelum diberi kepada anak-anak.
- Boleh dicicah dengan sos tomato atau mayonis.