Niat beli sikit, akhirnya penuh troli! Cuba teknik 5-4-3-2-1 elak 'lari' bajet ketika 'shopping'
ANDA pernah tak berada dalam situasi kononnya nak beli barang dapur sedikit sahaja, tapi akhirnya troli penuh barangan yang bukan keperluan?
Sikap berbelanja di luar kawalan antara punca bajet bulanan terganggu malah dapur penuh dengan barang-barang tak digunakan.
Sebenarnya, masalah ini boleh dielakkan sekiranya mempraktikkan teknik 5-4-3-2-1 ketika membeli barang dapur, seperti dikongsikan seorang pengguna Threads dikenali sebagai Athina Zulkifli.

Menurut Athina, teknik ini membantu dirinya menjadi lebih berdisiplin dan terurus ketika membeli barangan keperluan harian, sekali gus mengelakkan pembaziran.
"Saya rasa lebih teratur dan ia membantu saya kekal fokus. Kalau tidak, saya boleh terbeli makanan 'fun' sampai 10 kali ganda," tulisnya dalam perkongsian tersebut.
Dengan adanya senarai yang jelas, pembeli tidak mudah terpengaruh dengan promosi atau keinginan spontan ketika berada di pasar raya.
Teknik 5-4-3-2-1 ini juga menekankan pemilihan bahan mengikut kategori tertentu dan kesimbangan nutrisinya seperti berikut:
MENARIK DIBACA: Tak perlu goreng, udang masam manis versi air fryer ‘confirm’ menjadi
MENARIK DIBACA: [V] Lebih puas masak sendiri, Farahdhiya belanja RM1,000 sebulan beli barang di pasar tani
5 jenis sayur
Pilih sayur yang mempunyai nutrien, warna dan tekstur berbeza supaya hidangan lebih seimbang serta tidak membosankan.
Contohnya cendawan, tomato, lobak merah, lada benggala dan kobis.
4 jenis buah
Gabungkan buah dengan manfaat nutrisi berlainan seperti vitamin C dan serat untuk keperluan harian.
Antaranya epal, tembikai, jambu air dan kiwi.
3 jenis protein
Fokus kepada protein asas yang mudah dipelbagaikan dalam menu harian seperti ayam atau daging, tempe, atau susu tinggi protein.
2 jenis bijirin
Pilih sumber karbohidrat utama yang sering digunakan seperti beras dan roti.
1 ‘fun treat’
Hadkan kepada satu sahaja makanan ‘ganjaran’ seperti pencuci mulut, coklat atau snek bagi mengelakkan pembelian berlebihan.
