Basuh betul-betul udang galah sebelum masak, mungkin ada telur lintah melekat pada kulit
UDANG galah memang antara hidangan air tawar paling digemari, apatah lagi kalau dimasak gulai lemak atau digoreng ringkas.
Isinya yang tebal, manis dan berjus membuatkan ramai sanggup bayar mahal semata-mata mahu menikmati keenakannya.
Namun di sebalik kesedapannya itu, ramai tak sedar udang sungai ini boleh menjadi ‘rumah’ bagi parasit lain, salah satunya telur lintah yang melekat pada bahagian kulit.
Telur lintah ini dikatakan bersaiz sangat kecil dan tidak begitu ketara pada pandangan mata kasar.

Warnanya pula sedikit gelap dan biasanya berkumpul banyak pada satu-satu tempat menyebabkan ia mudah terlepas pandang jika tidak diperiksa betul-betul.
Perkara ni dikongsikan oleh seorang pengguna Instagram, @rezqiamalia.77, yang mengingatkan supaya orang ramai lebih berhati-hati ketika membersihkan udang galah.
Menurutnya, cara paling selamat untuk mengelak termakan telur lintah adalah dengan mengupas kulit udang dan masak bahagian isinya sahaja.
MENARIK DIBACA: Rendam dalam air limau nipis cara mudah kupas kulit udang, jari pun tak sakit!
MENARIK DIBACA: [V] Ini rahsia masak udang harimau lemak cili, tambah kacang panjang lebih sedap
“Hati-hati, kalau tidak benar-benar bersih membersihkan udang galah, kalian akan termakan telur lintah darat yang melekat pada kulit.
“Cara selamat agar terhindar boleh dikupas kulitnya dan memasak hanya bahagian dalamnya saja. Jika ingin memasak dengan kulitnya, pastikan bersihkan dengan teliti kulit udang," tulisnya.
Bagaimanapun katanya, tidak semua udang galah dijadikan 'sarang' oleh lintah untuk bertelur.
Tambahnya lagi, udang galah dengan telur lintah ini juga boleh dimasak tanpa dikupas kulit asalkan dibasuh bersih.
"Kalau dimasak betul-betul tak apa, telurnya mati juga cuma selepas tahu (telur lintah) pasti rasa jijik kalau tidak dicuci dengan bersih," katanya.
Menjawab soalan netizen yang menyangka ia adalah telur udang galah, dia memberikan perbezaan antara kedua-duanya.
"Kalau di kaki-kaki udang yang telurnya menggerombol tu memang telur udang, bertenang ya," katanya.
Selalunya situasi ini terjadi kepada udang dengan sepit biru serta bergantung kepada saiz.
