Rahsia buat telur separuh masak tekstur sempurna ala kopitiam popular... Masa, teknik kena betul
SETIAP kali ke kopitiam, antara menu sarapan pagi sering dipesan tentunya telur separuh masak yang dimakan bersama kicap cair dan taburan lada putih.
Ringkas, namun cukup memikat selera.
Mana tidaknya, telur separuh masak di kopitiam selalunya lebih sedap berbanding yang dibuat sendiri di rumah.

Teksturnya pula tidak terlalu cair dan tidak keras atau berketul, menjadikan setiap suapan terasa lebih 'creamy' dan lembut.
Apatah lagi bila digabungkan dengan roti bakar kaya dan mentega, rasanya memang lengkap sebagai sarapan klasik kegemaran ramai.
Menerusi perkongsian seorang pengguna Threads, @ayuamirawahab, rupa-rupanya mudah sahaja untuk menghasilkan telur separuh masak yang hasilnya hampir sama seperti di kopitiam.
MENARIK DIBACA: Nampak senang tapi ramai buat silap, ini rahsia telur hancur cara Gordon Ramsay
MENARIK DIBACA: Kilauan pada permukaan telur petanda bahaya, jangkitan bakteria pseudomonas boleh ‘matikan’ tulang
Rahsianya bukan pada api, tetapi teknik rendaman dan masa seperti berikut:-
- Didihkan air dalam periuk hingga betul-betul menggelegak
- Setelah mendidih, tutup api dan masukkan telur yang sudah dibasuh bersih (periuk tidak perlu ditutup)
- Tetapkan masa selama tujuh minit.
- Cukup masa, angkat telur, pecahkan dan sedia untuk dihidangkan.
