Ini 5 bahan pengganti buat kek dan pastri tanpa telur, hasilnya tetap gebu dan lembut
DALAM pembuatan kek atau pastri, telur antara bahan penting yang berfungsi melembapkan, mengukuhkan struktur serta membantu proses mengembang ketika membakar.
Namun dalam situasi tertentu, ada yang tidak menggunakan telur dalam kek atau pastri sama ada disebabkan alergi dan mengamalkan diet tertentu.
Tanpa telur, hasilnya boleh menjadi kering, padat atau mudah rapuh apabila dipotong.
Sebenarnya ada banyak bahan yang boleh menggantikan telur tanpa merosakkan rasa atau tekstur kek.
Dengan memahami fungsi telur dalam sesuatu resipi, anda lebih mudah memilih pengganti paling sesuai.
Berikut ialah beberapa pengganti telur terbaik yang boleh anda gunakan:

1. Biji rami (flaxseed)
Membuat pes daripada biji rami kisar dan air adalah cara sihat dan mudah untuk menggantikan telur.
Nisbahnya ialah menggunakan satu sudu besar biji rami kisar + tiga sudu besar air = sebiji telur.
Campuran ini berfungsi sebagai bahan pengikat sambil menambah serat dalam diet anda.
Ia sesuai untuk pencuci hidangan manis yang mempunyai rasa 'earthy' seperti biskut kacang atau bar oat.
Selain menambah serat yang baik untuk pencernaan, flaxseed juga mempunyai manfaat untuk kesihatan jantung.

2. Serbuk whey (whey protein)
Jika anda tidak mahu menggunakan telur tetapi masih mahukan struktur kukuh dalam pastri, serbuk whey ialah pilihan tepat.
Serbuk whey kaya protein dan boleh meniru fungsi telur dalam adunan.
Cara penggunaan adalah membuat pes dengan air + minyak + serbuk whey.
MENARIK DIBACA: Saiz dapur kecil bukan masalah, ada cara deko agar nampak luas dan praktikal
MENARIK DIBACA: Kulit risoles mudah pecah selepas digoreng, puncanya ramai tertinggal 2 bahan ini
Ikut nisbah 15 peratus whey, 10 peratus minyak, 75 peratus air untuk menggantikan sebiji telur.
Pastikan berat pes kira-kira dua oz (± 56 g) iaitu berat sebiji telur besar.
Kaedah ini sesuai untuk brownies, kek, inti cheesecake dan pelbagai lagi dan hasilnya akan lebih lembut, teratur dan tahan lama.

3. Sos epal (apple sauce)
Salah satu pengganti telur termudah ialah sos epal. Anda boleh gunakan sos epal yang dibeli atau buat sendiri.
Nisbah pengganti adalah ¼ cawan (empat sudu besar) sos epal = sebiji telur.
Pilih antara sos epal tanpa gula atau bergula mengikut citarasa dan jenis kek.
Sos epal tanpa gula mempunyai rasa lebih neutral manakala bergula mungkin mengandungi kayu manis yang memberi aroma tambahan.

4. Tepung arrowroot
Arrowroot ialah pengganti yang baik jika telur digunakan sebagai agen pengikat dan pemberi tekstur lembut.
Namun, ia tidak membantu proses kembang jadi pastikan resipi sudah mempunyai serbuk penaik atau soda bikarbonat.
Cara membuat pengganti telur adalah tiga sudu besar air suam + dua sudu besar tepung arrowroot. Biarkan seketika sehingga menjadi gel.
Arrowroot sangat popular dalam resipi bebas gluten kerana ia memperbaiki struktur kek menjadikannya lembut tetapi tidak mudah hancur.
Ia juga tidak mengubah warna kek kerana warnanya yang putih.

5. Pisang lenyek
Pisang lenyek ialah pengganti telur yang sangat praktikal dan lazat.
Nisbahnya adalah sebiji pisang masak (dilenyek) = sebiji telur.
Pisang memberikan rasa manis semula jadi. Namun jika anda membuat pastri dalam kuantiti besar rasa pisang mungkin menjadi dominan, jadi pilih dengan bijak mengikut jenis kek yang dibuat.
Pastikan pisang dilenyek betul-betul supaya tidak meninggalkan ketulan dalam adunan.