Anggur kyoho bukan sebarang buah, rahsia orang Jepun bertenaga dan miliki kulit mulus
PERNAH terfikir tak bagaimana rasanya menikmati anggur sebesar bola pingpong yang manis, berair dan mencair di dalam mulut?
Itulah gambaran tentang anggur kyoho iaitu buah premium dari Jepun yang kini menjadi kegilaan ramai pencinta buah di seluruh Asia.
Maka tidak hairan buah ini digelar raja anggur Jepun.
Bukan setakat premium buah dan enak, buah ini juga sarat dengan khasiat untuk kesihatan dan kecantikan.
Ada banyak sebab masyarakat Jepun cukup gemar makan buah ini dan salah satunya ia dapat menjadikan kulit lebih cantik.
Jom ketahui khasiat anggur kyoho dengan lebih dekat.

1. Kaya antioksidan
Warna ungu gelap pada anggur Kyoho mengandungi antosianin sejenis antioksidan kuat yang membantu melawan radikal bebas dalam badan.
Radikal bebas ini merupakan punca utama kerosakan sel, penuaan kulit dan pelbagai penyakit kronik.
MENARIK DIBACA: Campuran kunyit dan susu rahsia tanggalkan bulu tanpa cukur, pakej putihkan ketiak hitam
MENARIK DIBACA: Bimbang lapar ketika hiking, ini 5 makanan mudah disediakan tapi mengenyangkan
Kyoho juga mengandungi resveratrol dan flavonoid, dua komponen yang terkenal dalam dunia kecantikan dan kesihatan jantung.
Dengan pengambilan yang konsisten, Kyoho boleh membantu menjaga sel tubuh agar kekal sihat, kulit tampak muda dan sistem imun lebih kuat.

2. Melindungi jantung
Salah satu sebab utama ramai pakar pemakanan mengesyorkan anggur ialah kandungan resveratrol tinggi iaitu sebatian yang terbukti membantu menjaga kesihatan jantung.
Ia membantu meningkatkan kolesterol baik (HDL), mengurangkan risiko pembekuan darah serta melancarkan aliran darah ke seluruh tubuh.
Bagi mereka yang mempunyai tekanan darah tinggi atau masalah kolesterol, makan Kyoho secara sederhana boleh menjadi salah satu langkah semula jadi untuk menyokong kesihatan jantung.

3. Menyokong fungsi otak
Antioksidan dalam anggur Kyoho juga memberi kesan positif kepada kesihatan otak kerana dapat membantu melindungi sel otak daripada tekanan oksidatif yang boleh menyebabkan gangguan memori dan tumpuan.
Kajian menunjukkan bahawa resveratrol dapat membantu meningkatkan peredaran darah ke otak menjadikan fungsi mental lebih baik dan risiko penyakit neurodegeneratif seperti Alzheimer berkurang.
Jadi, pengamilan sebiji dua anggur Kyoho setiap hari bukan sahaja memuaskan lidah tetapi juga menjaga dan menajamkan minda.

4. Cantikkan kulit semula jadi
Ramai wanita Jepun percaya bahawa kecantikan kulit bermula dari dalam dan anggur Kyoho menjadi salah satu rahsia mereka.
Kandungan vitamin C dan antosianin membantu merangsang penghasilan kolagen menjadikan kulit lebih anjal, lembut dan cerah semula jadi.
Antioksidan dalam Kyoho juga membantu melindungi kulit daripada sinar UV dan tekanan persekitaran yang boleh menyebabkan kulit kusam dan kering.

5. Membekalkan tenaga berpanjangan
Kyoho kaya dengan gula semula jadi seperti glukosa dan fruktosa iaitu sumber tenaga yang cepat diserap oleh badan.
Berbeza dengan gula tiruan, tenaga daripada buah ini lebih stabil dan tidak menyebabkan paras gula naik mendadak.
Kyoho sesuai dijadikan snek sihat sebelum bersenam, ketika bekerja atau sewaktu anda perlukan tenaga segera di tengah hari.