Cara betul cuci botol susu bayi tanpa guna sterilizer, tak cukup basuh guna sabun je!
BAGI individu yang baru bergelar ibu atau bapa, setiap hari pasti ada sahaja perkara baharu yang perlu dipelajari.
Kadang-kadang, perkara yang sering dianggap kecil sebenarnya memberi kesan besar kepada kesihatan si manja.
Antara perkara yang masih ramai terlepas pandang ialah kebersihan botol susu bayi.
Perkara ini turut dikongsikan seorang wanita di laman Threads selepas mendengar penjelasan daripada pegawai perubatan, Dr Adli Hidayat.
Menerusi perkongsiannya, ramai golongan ibu dan bapa mula sedar bahawa penjagaan botol susu bayi sebenarnya sangat penting.

Rata-rata sudah sedar bahawa mencuci botol susu dengan sabun sahaja tidak mencukupi.
Botol susu bukan sekadar perlu dibersihkan sekali sehari tetapi harus disteril setiap kali selepas digunakan.
Perkara kecil inilah yang boleh menjadi punca bayi mengalami masalah seperti sakit perut, kembung atau cirit-birit.
MENARIK DIBACA: Perap guna teknik 'wet brine' dan 'dry brine' jadikan isi ayam lebih 'juicy', sedap tahap maksimum!
MENARIK DIBACA: Kafe Jepun jual latte pada suhu paling ekstrem di dunia, kena habiskan dalam masa 40 saat sebelum beku
Lebih membimbangkan, bayi yang berusia bawah enam bulan mempunyai sistem imun yang masih lemah.
Perut mereka juga sangat sensitif terhadap bakteria yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
Bagaimanapun tidak semua ibu bapa mempunyai sterilizer (alat pensteril botol susu) di rumah.
Berikut cara paling mudah dan selamat untuk memastikan botol susu benar-benar bersih.
- Cuci botol terlebih dahulu menggunakan sabun dan bilas hingga bersih
- Asingkan semua bahagian botol, puting, cincin dan penutup
- Masak air hingga benar-benar mendidih kemudian padamkan api
- Masukkan semua bahagian botol ke dalam air tersebut dan pastikan ia tenggelam sepenuhnya
- Biarkan selama lima hingga 10 minit
- Angkat menggunakan penyepit bersih dan biarkan kering sendiri tanpa dilap