Usung jagung berat, lewat malam masih berniaga... Ramai risau mak ayah eskploitasi anak demi wang
TAK dinafikan cabaran ekonomi pada hari ini memaksa ramai orang melakukan pelbagai usaha demi mencari sesuap nasi buat keluarga.
Ada pasangan suami isteri yang mengambil inisiatif melakukan kerja sampingan seperti berniaga makanan secara kecil-kecilan bagi menampung perbelanjaan harian.
Dalam masa yang sama, timbul kebimbangan apabila ada segelintir ibu bapa tergamak mengeksploitasi anak sendiri untuk tujuan mencari pendapatan.
Perkara ini menjadi perhatian selepas seorang pengguna meluahkan rasa bengang melihat seorang kanak-kanak lelaki menjual jagung rebus di sebuah kawasan kedai makan sehingga lewat malam.

Cukup menyayat hati apabila kanak-kanak yang dipercayai masih bersekolah rendah itu dilihat mendekati orang ramai sambil menjinjing beg plastik berisi jagung.
“Mak ayah tak berhati perut… pukul 11.20 malam budak ni mai jual jagung, dia seorang angkut 16 batang jagung (1 plastik ada 4) angkut sorang dia dari meja ke meja.
“Orang sedekah duit tak terima tapi suruh beli jagung,” katanya.
Tambah individu itu lagi, ibu bapa kanak-kanak berkenaan didakwa hanya menunggu di kawasan parkir kereta tanpa turun membantu, sebaliknya membiarkan anak mereka bekerja sendirian.
MENARIK DIBACA: Khairul Aming tak sentap dikritik, terus perbaiki kualiti kuih muih di Rembayung
MENARIK DIBACA: Kanak-kanak Rusia didakwa kelaparan sampai kutip makanan di kubur, situasi ekonomi jadi persoalan
“Mak ayah mana? Baru tahu rupanya mak ayah parking jauh… suruh anak jalan mai jual jagung dekat orang kat kedai makan ni,” ujarnya.
Menjengah ke ruangan komen, ada netizen yang mendakwa wujud kemungkinan sindiket atau pihak ketiga yang mengeksploitasi kanak-kanak untuk tujuan mengaut keuntungan.
Menurut dakwaan tersebut, ada kes di mana kanak-kanak dipercayai dikumpulkan oleh ejen dan diarahkan menjual pelbagai barangan di jalanan seperti jagung, mangga asam dan minuman.
“Kadang bukan mak ayah tapi ejen… budak-budak ni mungkin anak yatim, dikumpul satu rumah, kemudian 'brainwash' untuk cari duit,” dakwa seorang pengguna.

Dalam masa sama, ramai turut berkongsi pengalaman berdepan situasi serupa melihat kanak-kanak kecil menjual barangan pada waktu yang tidak sesuai.
Sebahagian komen turut menyeru agar pihak berkuasa mengambil tindakan sekiranya benar wujud unsur eksploitasi kanak-kanak, termasuk menyiasat latar belakang keluarga.
"Bawa budak ni pergi balai polis terus bang. Kesian dia! Kalau betul mak ayah dia nanti polis akan siasat kenapa biarkan anak merayap waktu macam tu.
"Saya pernah jumpa budak lelaki mai jual jelly box. Bapa kahwin dua, mak bini pertama, adik beradik ada lapan orang. Geram nak cakap pak hang memant*t pandai!" antara komen netizen.