"Cara awak sarapan tu salah" - Pekena nasi lemak, roti canai... Rakyat Malaysia patut tahu reaksi dalam badan
BAGI rakyat Malaysia, memulakan hari tanpa ‘pekena’ roti canai atau nasi lemak untuk sarapan ibarat 'tak lengkap pagi'.
Menu ini sudah sebati sejak kecil, menjadi pilihan utama kebanyakan individu sebelum memulakan hari.
Pernah tak anda rasa mengantuk dan lemau (food coma) selepas sarapan, padahal hari baru sahaja bermula?
Lagi pelik, belum pun tengah hari, perut dah kembali berkeroncong tanda lapar sedangkan tadi dah makan sepinggan nasi lemak.

Menurut perkongsian Akmal Hakim, seorang pelajar jurusan perubatan, keadaan ini berlaku disebabkan kandungan karbohidrat tinggi dalam makanan seperti nasi lemak, roti canai dan kuih muih.
Jelasnya, pengambilan karbohidrat ringkas ketika perut kosong boleh mencetuskan lonjakan insulin secara mendadak atau ‘insulin spike’, sekali gus menyebabkan tubuh cepat letih.
“Cara awak sarapan tu salah. Perut kosong semalaman sangat sensitif terhadap gula dan karbohidrat ringkas.
“Bila makan nasi lemak atau kuih, gula terus masuk ke dalam salur darah. Boom! Insulin 'spike' meningkat mendadak, badan pula kelam kabut menyimpan tenaga sebagai lemak.
MENARIK DIBACA: Konon nak sihat tapi punca perut meragam, elak 6 buah-buahan ini ketika sarapan
MENARIK DIBACA: Sarapan cepat tapi berkhasiat, cuba salad ayam teriyaki ringkas ini
“Kemudian berlaku ‘crash’. Awak jadi lemau dan lapar semula sekitar jam 10 pagi,” katanya di Threads.
Justeru, dia menyarankan agar orang ramai mengubah cara pengambilan sarapan dengan mendahulukan makanan serat tinggi dan protein sebelum karbohidrat.
Cara ini bukan sahaja membantu menstabilkan paras gula dalam darah, malah memberikan rasa kenyang yang lebih lama serta tenaga yang konsisten sepanjang pagi.
“Peraturan baru: F.P.C (Fiber, Protein, Carb). Ini urutan makan yang membantu memperlahankan ‘glucose spike’.

Berikut ringkasan langkah-langkah yang dikongsikan:
1. Mulakan dengan air kosong, kemudian serat dan protein.
Mulakan pagi dengan segelas air kosong untuk menghidratkan tubuh, kemudian ambil makanan tinggi serat dan protein seperti:
- Telur rebus atau separuh masak
- Greek yogurt
- Sup ayam
- Tempe goreng
- Ulam-ulaman atau salad
2. Karbohidrat
Selepas mengambil protein dan fiber, barulah anda menikmati karbohidrat seperti nasi lemak, roti canai atau kuih.
Gabungan ini membantu memperlahankan penyerapan gula ke dalam darah.
Hasilnya, lonjakan insulin menjadi lebih terkawal, tenaga lebih stabil dan anda tidak mudah lapar dalam tempoh singkat.