Tak boleh hidup tanpa 'energy drink'? 'Wajib' tahu risiko, bahaya menanti anda
DI pasaran hari ini terdapat lambakan minuman tenaga (energy drink) yang didakwa mampu meningkatkan ketahanan mental dan fizikal, stamina serta tumpuan terutamanya apabila seseorang itu keletihan.
Minuman tenaga juga didakwa mampu menghilangkan rasa mengantuk dan meningkatkan konsentrasi terutama kepada pemandu jarak jauh, pelajar atau mereka yang sering bekerja lebih masa.
Tapi tidak ramai sedar minuman lonjakan tenaga itu mampu memberi risiko terutama pada jantung jika diambil secara berlebihan atau terlalu kerap.

Public Health Malaysia (PHM) menerusi satu perkongsiannya memberi amaran tentang kesan pengambilan minuman tenaga pada kesihatan jantung apabila ia kini menjadi pilihan utama oleh golongan pelajar dan juga 'kaki games'.
PHM mendedahkan pengambilannya secara berlebihan boleh membuatkan seseorang itu menggigil, dada berdebar, susah tidur dan kepala menjadi serabut.
Ditambah dengan kandungan gula yang sangat tinggi, minuman tenaga turut mendatangkan risiko masalah diabetes terhadap golongan muda.
MENARIK DIBACA: Umur 60 tahun masih cun macam anak dara, Sasha Aziz kongsi amalan pemakanan ibu
MENARIK DIBACA: Berat sama, harga beza! Rupanya ada sebab sardin tin leper lebih mahal dari jenis menegak
Menurut PHM, tubuh remaja bukan mesin yang boleh dipaksa dengan kandungan gula dan kafein yang tinggi setiap hari.
Bahkan, terdapat minuman tenaga yang dicampur dengan bahan lain sehingga membuatkan badan menjadi lebih terangsang.
Kesannya, bila diambil terlalu banyak dan dicampur dengan tidur yang tidak mencukupi, jantung akan mula berdegup lebih laju daripada sepatutnya.

Lebih memburukkan keadaan, ada keadaan tertentu menyebabkan seseorang itu mengalami rasa sakit dada, pening, rasa nak pitam, sesak nafas dan keresahan melampau.
Namun, kesan yang mereka alami itu dianggap 'biasa' selagi tidak rebah kerana menganggap badan masih lagi okay, sedangkan jantung sudah mula memberi amaran supaya tidak berdiam diri dan membiarkannya begitu sahaja.
Antara kesan dan risiko kesihatan terhadap pengambilan minuman tenaga secara berlebihan seperti:
Jantung: Menyebabkan jantung berdebar atau tekanan darah tinggi disebabkan dos kafein berlebihan.
Diabetes: Kandungan gula yang sangat tinggi meningkatkan risiko penyakit kencing manis.
Gangguan tidur: Boleh menyebabkan insomnia atau tidur yang tidak berkualiti.
Dehidrasi: Kafein bersifat diuretik yang boleh menyebabkan badan kehilangan air dengan lebih cepat.