KUALI | Momen

Selepas sate Kajang dan nasi ambeng, 6 lagi menu bakal diwarta Makanan Warisan Selangor

Lead Image

SEBANYAK enam jenis makanan bakal diwartakan sebagai Makanan Warisan Negeri Selangor seperti yang dimaklumkan oleh Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah, baru-baru ini.

Memetik laporan oleh Media Selangor, enam makanan tersebut adalah punten, tat Bengkulu, sambal taun/tahun, beppa pute, burasak dan rendang sebagai identiti makanan di Selangor.

Bagaimanapun, Borhan berkata proses pemerwataan tersebut mengambil masa kerana satu perbincangan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor perlu dilakukan selain penganjuran bengkel.

Nasi ambeng dan sate Kajang terdahulu telah diwartakan sebagai Makanan Warisan Selangor masing-masing pada 2022 dan 2025.

Selain itu, perbincangan juga perlu dibuat dengan Malaysia Book of Records untuk memastikan makanan yang disenaraikan itu belum pernah diwartakan di mana-mana negeri, termasuk melakukan penyelidikan teliti bersama pengusaha makanan warisan.

Pada November 2022, menu tradisi masyarakat Jawa iaitu nasi ambeng telah diisytiharkan sebagai Makanan Warisan Selangor oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amiruddin Sahri.

Ogos tahun lalu pula menyaksikan sate Kajang diisytiharkan sebagai makanan warisan negeri selepas diperkanankan oleh Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin.

Berikut beberapa fakta tentang enam makanan yang bakal diwartakan sebagai Makanan Warisan Negeri Selangor:

Punten yang juga makanan tradisi orang Jawa terkenal di bahagian Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Tanjung Karang.

1. Punten

Merupakan sejenis makanan tradisi dalam kalangan masyarakat Jawa.

Dalam bahasa Sunda, punten membawa maksud 'permisi' atau maaf.

Punten diperbuat daripada nasi yang dicampur dengan santan dan sedikit garam untuk memberikan rasa masin berlemak.

Nasi kemudiannya dilenyek sehingga lumat dan dijadikan ketulan bujur atau bulat.

Hidangan ini biasanya dimakan bersama sambal bilis atau sambal hijau.

Di Selangor, juadah ini popular di bahagian Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Tanjung Karang.

Dianggap sebagai 'raja kuih' oleh masyarakat di Sumatera Barat.

2. Tat bengkulu

Dianggap sebagai 'raja kuih' dan menjadi kebanggaan bagi masyarakat dari Sumatera Barat, Indonesia yang berhijrah ke semenanjung Malaysia dan menetap di sekitar Hulu Selangor.

Tat Bengkulu memiliki keistimewaan dari segi tekstur dan rasa yang luar biasa.

Walaupun menggunakan bahan asas biasa iaitu tepung, santan dan telur, tat bengkulu melalui proses yang agak lama kerana diperap selama beberapa jam supaya aduan kembang dengan sekata sebelum dibentuk seperti karipap.

Inti tat bengkulu biasanya diperbuat daripada kelapa atau nanas.

Tempoh ketahanan tat Bengkulu pula adalah antara dua minggu hingga sebulan kerana ia tidak menggunakan bahan pengawet.

MENARIK DIBACA: Remaja disleksia jual air tembikai tanpa harga, bayar seikhlas hati - "Saya tak kenal angka, tak pandai kira"

MENARIK DIBACA: Minum kopi lepas bangun tidur punca cepat letih! Ikut tip ini untuk kekal 'fit' sepanjang hari, elak mengantuk

Bahan utama beppa pute diperbuat daripada tepung pulut, santan, telur dan gula.

3. Beppa pute

Merupakan sejenis kuih tradisional masyarakat Bugis di bahagian Sulawesi Selatan, Indonesia.

Kuih tradisional ini biasanya berwarna putih dan memiliki bentuk seperti cengkerang.

Beppa bermaksud kuih, manakala pute pula bermaksud putih.

Mempunyai rasa manis dan berlemak dengan tekstur rangup.

Bahan utama kuih ini diperbuat daripada tepung pulut, santan, telur dan gula.

Kuih ini biasanya digoreng sebelum dicelup atau disalut dengan air gula.

Proses memasak burasak memerlukan masa antara lapan hingga 10 jam.

4. Burasak

Merupakan juadah oleh masyarakat Bugis yang ada di Johor dan beberapa kawasan di Selangor.

Burasak atau juga dipanggil buras diperbuat daripada beras dan santan yang dimasak bersama daun pandan, kemudian dibungkus dengan daun pisang sebelum direbus atau dikukus.

Proses memasak burasak juga memerlukan masa yang sangat lama iaitu antara lapan hingga 10 jam.

Burasak telah diisytiharkan sebagai 'Makanan Warisan Kebangsaan' pada 2024.

Sambal taun atau tahun lazimnya memiliki rasa yang sangat pedas.

5. Sambal taun/tahun

Sambal taun (sambal tahun) adalah hidangan tradisional masyarakat Jawa. 

Sambal ini terkenal dengan rasa yang sangat pedas dan berlemak hasil gabungan santan serta bahan asas seperti kulit lembu, kerang atau ikan bilis.

Sangat sedap dimakan bersama nasi putih panas dan sesuai dijadikan lauk pembuka selera.

Di Selangor, hidangan ini sangat popular di Sabak Bernam dan Kuala Selangor.

Rendang juga termasuk dalam senarai cadangan makanan yang bakal diwartakan di Selangor.

6. Rendang

Dianggap hidangan paling popular di 'alam Melayu'.

Pernah diangkat sebagai masakan paling enak di dunia oleh CNN Travel pada 2011 dan 2017.

Juadah ini sangat sinonim dengan sambutan Aidilfitri dan selalunya dimakan bersama ketupat atau lemang.

Di Selangor, terdapat sejenis rendang yang dikenali sebagai 'rendang Jawa'.

Rendang Jawa memiliki tesktur kuah yang sedikit basah dan pekat dengan tambahan beberapa bahan lain seperti kentang atau tempe.

Hidangan rendang Jawa sangat popular di kawasan Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Tanjung Karang.

 

bell-light

Jadilah sebahagian daripada geng Kuali! Follow kami di Instagram, TikTok, YouTube dan Facebook

ARTIKEL SEBELUM
KUALI | Viral

Usung jagung berat, lewat malam masih berniaga... Ramai risau mak ayah eskploitasi anak demi wang

ARTIKEL BERIKUT
KUALI | Viral

Bapa terharu anak kedua 'random' buat kejutan, rezeki dapat bekal nuget ke ofis

Terhangat