Bapa terharu anak kedua 'random' buat kejutan, rezeki dapat bekal nuget ke ofis
SEORANG bapa mencuri perhatian warganet apabila berkongsi momen menyentuh hati bersama anak keduanya.
Menerusi Threads, lelaki dikenali sebagai Farid Victory berkata, ketika menghantar anaknya ke sekolah dia tiba-tiba dihadiahkan dengan makanan.
Menurut lelaki itu, berhampiran sekolah anaknya terdapat sebuah kedai dan 'hadiah' makanan itu dibeli dari kedai tersebut.
Jelasnya lagi, sudah jadi kebiasaan jika anak mahu singgah ke kedai tersebut dia akan menurunkannya di situ dan terus memandu ke pejabat.
Namun pada hari berkenaan, anak lelakinya itu meminta dia menunggu seketika.

"Babah jangan gerak dulu tau, kitaorang nak beli makanan jap. Nanti kitaorang datang balik nak salam," kongsi lelaki itu yang akur, tetapi sedikit hairan melihat kelakuan anaknya pada hari tersebut.
Tanpa disangka, anaknya kemudian kembali bukan sahaja dengan makanan untuk diri sendiri, tetapi turut membawa plastik berisi tiga ketul nuget.
MENARIK DIBACA: Perut kembung, muka sembap petanda gemuk air... Cuba 2 herba ini, badan terus rasa ringan
MENARIK DIBACA: Dah jemput, kutuk pula! Tuan rumah bengang jiran datang majlis habiskan makanan, tak reti balik
"Nah babah. Makanan untuk babah, Uwais belanja babah. Selalu babah beli untuk kitaorang, tak ada pun babah beli untuk babah," dia mengimbas semula kata-kata anak-anaknya.
Menurutnya, anak keduanya itu memang suka bertindak di luar jangkaan dan sikap prihatin pada hari tersebut amat menyentuh hatinya sebagai seorang bapa.
Dia juga tidak menyangka anaknya memerhati setiap pengorbanan yang dilakukan sebagai seorang bapa setiap hari.
Perkongsian itu mengundang reaksi positif warganet yang rata-ratanya tersentuh dengan sikap anak kecil berkenaan yang menghargai ibu bapanya walau masih muda.

"TQ post ni. Jarang 'parents' nak cerita kebaikan atau comel perangai anak-anak. Yang ada aib belaka. TQ tuan. Baca komen rasa 'best' sebab sebut anak nombor 2.
"Comel. Walaupun cuma nuget, but the way he appreciates the person he love.
"Anak saya beli karipap tiga, satu dia keluarkan bagi saya, yang dalam plastik dua dia bawa pi sekolah. Abi makan sikit-sikit, ada satu je tu abi punya. Saya terharu dan keliru," antara perkongsian netizen.
Ramai juga menyifatkan momen tersebut sebagai satu peringatan bahawa kasih sayang tidak semestinya ditunjukkan dengan perkara besar, sebaliknya cukup dengan perhatian kecil yang lahir dari hati yang tulus.