Remaja disleksia jual air tembikai tanpa harga, bayar seikhlas hati - "Saya tak kenal angka, tak pandai kira"
KISAH seorang remaja bernama Zufar yang juga penghidap disleksia tular di TikTok sekali gus meruntun hati ramai netizen.
Menerusi video yang dimuat naik di akaun zufar.azman, remaja tersebut berkongsi tentang kisah dan perniagaan kecil-kecilan yang diusahakan iaitu jualan air tembikai.
"Nama saya Zufar, Muhammad Zufar Azman. Saya budak berusia 17 tahun. Saya jual air tembikai," kongsinya.

Apa yang membuatkan hati netizen tersentuh apabila Zufar memberitahu dia tidak meletakkan harga tetap pada minuman yang dijual, sebaliknya pembeli hanya perlu membayar seikhlas hati.
Alasannya, kekurangan yang dimiliki menyukarkan dirinya untuk mengenal angka dan mengira.
"Ramai orang tanya saya, kenapa tak letak harga?
"Sebab saya tak pandai mengira, tak pandai baca nombor.
"Doktor panggil (kata) disleksia. Tapi saya okay sebab saya anggap ini cabaran," ujarnya.

Berkongsi tentang usaha kecil yang dijalankan, remaja berusia 17 itu berkata sebelum ini dia hanya duduk di rumah tanpa berbuat apa-apa.
Sehinggakan suatu ketika dia merasakan hidupnya tidak berguna dan dipandang rendah oleh orang lain.
Atas dorongan keluarga dan usaha sendiri, Zufar bangkit membuktikan bahawa dia juga mampu menjadi seperti orang lain dengan meraih pendapatan melalui perniagaan kecil.
MENARIK DIBACA: Pertama kali 'dating', pemuda geram kenalan wanita 'order' macam-macam! Anggap tiada 'common sense'
MENARIK DIBACA: Sambal belacan udang bakar, dijamin tak cukup sepinggan nasi
"Saya tidak boleh membaca dan tidak boleh mengira.
"Tapi saya percaya satu perkara iaitu, saya tahu nak berusaha.
"Setiap gelas (air tembikai) yang saya buat, saya hasilkan dengan sepenuh hati," jelasnya.
Berdasarkan komen yang ditinggalkan Zufar, difahamkan remaja berhati cekal ini menjalankan bisnes air tembikainya di Pasir Gudang, Johor.

Meninjau ruangan komen, ramai netizen menitipkan kata-kata semangat buat Zufar selain mendoakan agar urusan perniagaannya terus dipermudahkan.
"Kepada adik Muhammad Zufar bin Azman, saya doakan adik menjadi anak soleh yang berjaya di dunia dan akhirat, semoga bisnes air tembikai adik sentiasa dimewahkan dengan rezeki halal yang berkat kerana Allah.
"Semoga rezeki Zufar sentiasa melimpah ruah. Teruskan lakukan perkara yang baik. Allah sayang Zufar. Percaya dengan rezeki Allah," antara komen netizen.
Kisah yang dikongsikan Zufar membuatkan ramai tersentuh hati dengan meraih sehingga 2.7 juta tontonan di TikTok.