Serangan siber mampu jejas bekalan makanan! 5 persediaan ini penting untuk waktu kecemasan
SUDAH ramai pemimpin negara mula mengingatkan rakyat supaya menyediakan stok makanan dan keperluan asas bagi menghadapi situasi kecemasan.
Perkara itu turut disentuh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap di Parlimen pada Selasa apabila beliau menyentuh tentang langkah beberapa negara termasuk Kesatuan Eropah, Kanada dan Jepun yang menyarankan rakyat menyediakan bekalan makanan untuk tempoh antara tiga hingga 10 hari.
Antara kebimbangan yang dibangkitkan ialah konflik geopolitik, serangan siber terhadap infrastruktur penting dan kemungkinan gangguan rantaian bekalan.
Malah, kejadian serangan siber terhadap sistem penyejukan pasar raya di beberapa negara Eropah baru-baru ini menunjukkan bagaimana gangguan teknologi boleh menjejaskan penyimpanan makanan sehingga produk tertentu terpaksa dilupuskan.

Justeru, tidak mustahil gangguan seumpama itu boleh memberi kesan kepada bekalan makanan sekiranya berlaku dalam skala lebih besar dan terancang.
Hakikatnya, persediaan ini bukan hanya untuk menghadapi ancaman peperangan atau serangan siber.
Risiko bencana seperti banjir, tanah runtuh, ribut dan hujan lebat berterusan termasuk gangguan bekalan elektrik serta air boleh menyebabkan terputus bekalan makanan dan keperluan harian selama beberapa hari.
Jadi, apakah perkara yang sepatutnya disediakan di rumah? Berikut lima persediaan asas yang boleh mula dilakukan oleh setiap keluarga:
1. Stok makanan asas tahan lama
Makanan merupakan persediaan paling utama dan pastikan anda menyimpan beras, mi segera, telur, minyak, bihun, oat, biskut, makanan dalam tin seperti sardin dan tuna, kacang serta makanan kering.
Sebaiknya, pilih makanan yang biasa dimakan oleh ahli keluarga dan tidak memerlukan penyimpanan di dalam peti sejuk.
Sediakan juga beberapa pilihan makanan seperti sambal, nasi segera, lauk instant yang boleh terus dimakan sekiranya bekalan elektrik atau kemudahan memasak terganggu.
Sebagai permulaan, cuba sediakan stok makanan untuk tiga hari sebelum menambahnya secara berperingkat kepada tujuh hari atau lebih.

2. Bekalan air minuman bersih
Jangan hanya fikir tentang makanan kerana air juga merupakan keperluan yang sangat penting ketika kecemasan.
Setiap individu memerlukan bekalan air yang mencukupi untuk minum dan sebagai panduan, sediakan sekurang-kurangnya tiga liter air minuman bagi setiap orang sehari.
Misalnya bagi keluarga yang terdiri seramai empat orang, ini bermakna sebanyak 36 liter air minuman diperlukan untuk tempoh tiga hari.
Jumlah tersebut belum termasuk air untuk memasak, membasuh dan kebersihan diri.
Simpan air di dalam tong besar mahupun bekas bersih bertutup serta pastikan bekalan sentiasa diperiksa dan diganti.
3. Peralatan memasak alternatif
Sediakan dapur gas mudah alih, gas tambahan yang sesuai, mancis atau pemetik api serta peralatan memasak ringkas.
Perkara ini berguna sekiranya bekalan elektrik terputus dan sekiranya tidak dapat menggunakan dapur elektrik.
Pastikan penggunaan dapur gas dibuat di kawasan berventilasi baik dan bukan di ruang tertutup.

4. Barangan kebersihan dan sanitasi
Simpan ubat-ubatan, sabun, tisu kering dan basah, hand sanitizer, ubat gigi, lampin pakai buang, tuala wanita dan beg sampah.
Ketika banjir atau gangguan bekalan air, kebersihan diri dan persekitaran sangat penting untuk mengelakkan penyakit.
Barangan ini bukan sahaja membantu untuk kebersihan diri malah penting ketika menyediakan makanan, memasak dan membersihkan peralatan serta kawasan dapur.
Hal ini bagi memastikan kebersihan sentiasa terjaga dan mengelakkan pencemaran makanan.
MENARIK DIBACA: Nasi Kandar Saddam nafi dakwaan terima bekalan ayam daripada pembekal tular
MENARIK DIBACA: Perlu teliti ketika membeli... Ini cara bezakan ciri ayam bangkai, disembelih ikut syarak
5. Ubat-ubatan dan barangan kesihatan
Jangan tunggu sehingga berlaku kecemasan baru hendak mencari ubat.
Pastikan ubat-ubatan yang diperlukan oleh ahli keluarga sentiasa mencukupi terutama bagi mereka yang mengambil ubat secara berkala.
Sediakan juga peti pertolongan cemas, ubat luka, antiseptik, termometer, pelitup muka dan barangan kebersihan diri.
Bagi keluarga yang mempunyai bayi, warga emas atau individu yang memerlukan penjagaan khas pastikan makanan dan keperluan khusus mereka turut disediakan.
