480 dapur baharu dibuka untuk program makanan percuma, tumpu kawasan pedalaman
INDONESIA bakal membuka 480 dapur baharu bagi program makanan percuma, Makan Bergizi Gratis (MBG) pada Disember dengan kebanyakannya memberi tumpuan kepada kawasan pedalaman dan kurang membangun termasuk Papua.
Ketua Agensi Pemakanan Kebangsaan (NNA), Sudaryono berkata sebanyak 269 dapur akan ditempatkan di 16 wilayah di Indonesia timur yang mencatatkan kadar tumbesaran terbantut tinggi dalam kalangan kanak-kanak.
Menurut laporan media, perkara ini dinyatakan menerusi perkongsian video di Instagram dengan memaklumkan wilayah terbabit termasuk Gorontalo, Maluku dan beberapa wilayah di pulau Papua.
Sebanyak 211 dapur lagi akan dibuka di kawasan lain.
Program dilancarkan pada 2025 ini antara janji utama Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dengan sasaran menyediakan makanan kepada 83 juta murid serta ibu hamil bagi menangani masalah kekurangan zat makanan.

Pelaksanaannya tidak terlepas daripada kontroversi apabila timbul dakwaan rasuah, lebih 50,000 kes keracunan makanan dan penutupan dapur dikendalikan pihak swasta.
Program terbabit turut mencetuskan kebimbangan apabila kosnya yang mencecah berbilion dolar berpotensi meningkatkan defisit belanjawan negara.
Susulan pengurangan peruntukan tahun ini, NNA memaklumkan kawasan pedalaman akan diberi keutamaan bagi memastikan golongan memerlukan turut mendapat manfaat daripada program tersebut.
Peruntukan program ini dikurangkan kepada RM51.2 bilion tahun ini berbanding RM75 bilion sebelum ini, manakala peruntukan bagi tahun depan ditetapkan sebanyak kira-kira RM53.7 bilion.
MENARIK DIBACA: Menu tulisan tangan di gerai burger jadi perhatian - "Nampak ikhlas dia buat"
MENARIK DIBACA: Bergurau ke perli? Pelanggan terkejut buka bungkusan burger lepas minta salad lebih
Pemilik dapur dijangka mula menerima bayaran daripada kerajaan selepas kemudahan berkenaan diaktifkan, meskipun butiran lanjut mengenai pembayaran ini masih belum jelas.
Situasi ini menjejaskan ratusan pelabur yang sudah membina dapur untuk menyertai program berkenaan, terutama di kawasan pedalaman apabila pembayaran kerajaan tertangguh susulan langkah penjimatan belanjawan.
Malah, ada kemudahan dilaporkan tidak beroperasi selama berbulan-bulan meskipun sudah dibina bagi memenuhi keperluan program sama.
Sebelum ini, kes keracunan makanan dilaporkan melibatkan program makanan percuma di Indonesia menjadi perhatian apabila kerajaan negara ini merancang membuka ratusan dapur baharu bagi memastikan lebih ramai golongan memerlukan mendapat bekalan makanan.
