Makan nasi lemak di Kampung Baru, pelanggan dakwa ada telur lalat tapi peniaga nafi
SEORANG pelanggan mendakwa menemui telur lalat pada nasi lemak ketika menikmati hidangan itu di sebuah kedai makan di Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Berkongsi pengalaman di Threads, wanita tersebut turut menunjukkan gambar bahagian paru didakwa tompokan putih dipercayai telur lalat.
Bagaimanapun, wanita itu dilihat masih terus menikmatinya walaupun menyedari kewujudan tompokan berkenaan, malah cuba berfikiran positif mengenainya.

“What an experience! Pergi makan lunch dekat satu kedai nasi lemak di Kampung Baru.
“Ada telur lalat, tapi saya masih makan ya! Susah sejenis reda sangat ni,” katanya menerusi video yang dimuat naik di Threads.
Apabila menyedari hampir keseluruhan paru di dalam pinggan dipenuhi bendasing tersebut, dia terus bertindak memaklumkan perkara itu kepada pihak kedai.
MENARIK DIBACA: Wanita putus selera sampai trauma, beli ayam gepuk dapat pakej telur lalat!
MENARIK DIBACA: Ikan tak hanyir, tiada lalat hinggap mungkin petanda dicemari pengawet berbahaya
Apa yang menyedihkan, respons yang diterima didakwa tidak seperti diharapkan apabila pihak kedai enggan mengakui perkara tersebut.
“Mereka enggan mengaku. Mereka cakap telur rebus melekat pada paru.
“Hujung-hujung bagi saya ‘discount’ RM10, tapi tiada kata maaf dan servis sangat teruk!” ujarnya.

Risiko makan telur lalat
Jika menemui telur atau serangga pada makanan, hentikan makan dan elakkan hidangan tersebut.
Lalat boleh membawa kuman serta bakteria seperti Salmonella dan E. coli yang berisiko menyebabkan keracunan makanan.
Dalam kes jarang berlaku, makanan tercemar juga boleh menyebabkan intestinal myiasis, iaitu larva lalat hidup dalam saluran pencernaan.
Orang ramai dinasihatkan memastikan makanan sentiasa bertutup dan elakkan makanan yang kelihatan atau berbau mencurigakan.
Jika mengalami loya, muntah, sakit perut atau cirit-birit selepas makan, dapatkan rawatan jika simptom berterusan.