Ikan tak hanyir, tiada lalat hinggap mungkin petanda dicemari pengawet berbahaya
KALAU anda perasan ada ikan di pasar yang dibiarkan berjam-jam tetapi langsung tidak dihinggapi lalat dan situasi ini mungkin bukan petanda baik.
Menurut satu perkongsian di Threads, keadaan itu berkemungkinan disebabkan ikan berkenaan mempunyai bahan pengawet berbahaya seperti formalin.
Perkara tersebut didedahkan seorang pempengaruh sains makanan, Andrea Novita menerusi video di Threads selepas melakukan ujian formalin terhadap seekor ikan tongkol putih yang dibeli di sebuah pasar.

Apa yang mengejutkan, keputusan ujian menunjukkan sampel ikan tersebut memberikan bacaan positif kewujudan formalin.
"Ikan kita potong dan dicincang, kemudian tapis untuk dapatkan air. Air itu digunakan untuk ujian.
"Saya pakai rapid kit formalin, dan selepas digoncang air berubah warna ungu kemerahan (tanda kewujudan formalin)," katanya.
MENARIK DIBACA: Cef kongsi SOP sebelum goreng ikan masin, kena rendam lama baru dapat rasa asli
MENARIK DIBACA: Jangan keliru, khasiat jeruk jauh beza dengan buah segar! Penghidap asma perlu hati-hati
Bagi memastikan sama ada bahan tersebut boleh dihilangkan, Andrea kemudian membasuh dan merebus ikan berkenaan sebelum mengulang semula ujian.
Hasilnya didakwa masih menunjukkan bacaan positif.
Untuk info, formalin ialah larutan yang mengandungi formaldehid, bahan kimia yang digunakan sebagai pembasmi kuman dan pengawet untuk kegunaan industri serta makmal.

Penggunaannya sebagai bahan pengawet makanan adalah dilarang kerana boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan jika diambil secara berterusan.
Antara risiko termasuk kerengsaan pada mata, hidung dan tekak, gangguan sistem penghadaman, selain diklasifikasikan sebagai bahan boleh meningkatkan risiko kanser.
Selain tidak dihinggapi lalat, ikan yang disyaki mengandungi formalin juga dikatakan tidak mengeluarkan bau hanyir walaupun dibiarkan pada suhu bilik selama beberapa jam.