Keliru nak pilih papan pemotong kayu atau plastik? Ini penjelasan berdasarkan kajian
PERSOALAN mengenai sama ada papan pemotong kayu atau plastik lebih selamat digunakan di dapur sering menjadi perdebatan dalam kalangan pengguna.
Masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri, sekali gus membuatkan ramai keliru untuk memilih yang terbaik.
Papan pemotong plastik menjadi pilihan ramai kerana harganya lebih murah, tidak menyerap air serta mudah dibersihkan menggunakan sabun atau mesin pencuci pinggan.
Bagaimanapun penggunaan papan pemotong secara kerap boleh menyebabkan permukaannya dipenuhi kesan calar halus akibat geseran mata pisau.

Kesan calar itu boleh memerangkap sisa makanan, kelembapan dan bakteria sukar dibersihkan sepenuhnya.
Lebih lama papan pemotong digunakan tanpa diganti, lebih tinggi risiko pembiakan bakteria pada bahagian rosak.
Kajian dikongsikan Environmental Science & Technology turut mendedahkan bahawa penggunaan papan pemotong plastik boleh menghasilkan sejumlah besar zarah mikroplastik apabila bergesel dengan mata pisau.
Penyelidik menganggarkan seseorang berpotensi terdedah kepada berjuta-juta zarah mikroplastik setiap tahun melalui penggunaan papan pemotong plastik, walaupun kesan kesihatan jangka panjangnya masih dalam kajian.
Berbeza pula dengan papan pemotong kayu, sebuah kajian dikendalikan oleh University of Wisconsin mendapati bakteria seperti salmonella dan escherichia coli (E. coli) lebih cepat mati pada permukaan papan pemotong kayu berbanding papan pemotong plastik.
MENARIK DIBACA: Sedap tak semestinya selamat, tauge boleh jadi punca jangkitan dan keguguran
MENARIK DIBACA: Ini tip, bahan rahsia masak kuetiau goreng padu macam makan di kedai
Penyelidik menjelaskan struktur semula jadi kayu dipercayai mampu memerangkap bakteria ke dalam liang-liangnya sebelum mikroorganisma tersebut mati selepas beberapa ketika.
Keberkesanan itu bagaimanapun bergantung kepada jenis kayu, keadaan permukaan dan cara penjagaannya.
Selain itu, papan pemotong kayu juga lebih lembut terhadap mata pisau sekali gus membantu mengekalkan ketajamannya lebih lama.
Kajian itu bagaimanapun menekankan aspek utama berkenaan kebersihan tidak boleh dipandang ringan.
Pakar keselamatan makanan menyarankan papan pemotong dibasuh menggunakan air panas dan sabun sejurus digunakan, dikeringkan sepenuhnya bagi mengelakkan kelembapan menggalakkan pertumbuhan bakteria serta kulat.

Bagi papan pemotong kayu pula, sapuan minyak mineral khas secara berkala membantu mengelakkan kayu menjadi kering, merekah dan menyerap lebih banyak kelembapan.
Sekiranya papan pemotong, sama ada kayu atau plastik retak, berlubang atau mempunyai kesan calar terlalu dalam, disarankan diganti kerana kerosakan tersebut boleh menjadi tempat bakteria berkumpul.
Selain itu, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) mengesyorkan penggunaan papan pemotong berasingan untuk bahan mentah manakala satu lagi digunakan bagi makanan dimasak atau sedia dimakan.
Langkah mudah itu mampu mengurangkan risiko pencemaran silang, sekali gus membantu memastikan keselamatan makanan untuk seisi keluarga.