9 makanan tak rasa masin tapi tinggi kandungan garam, hampir setiap rumah ada simpan stok!
RAMAI menyangka makanan tinggi garam hanyalah makanan yang mempunyai rasa masin ketara apabila dimakan.
Hakikatnya, ada beberapa makanan harian yang sering diambil turut mengandungi kandungan natrium (sodium) tinggi.
Sebahagian daripada makanan tersebut bukanlah sesuatu yang asing dalam kehidupan seharian malah sering menjadi pilihan mudah untuk menyediakan hidangan atau dijadikan makanan ringan.
Menurut perkongsian seorang lelaki di Threads, terdapat sembilan jenis makanan harian rakyat Malaysia dikenal pasti tinggi kandungan garam dan perlu dikurangkan pengambilannya berdasarkan panduan serta maklumat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Apa yang membimbangkan, ada antara makanan dalam senarai ini berkemungkinan besar sudah tersedia dalam peti ais atau dapur anda atau menjadi pilihan keluarga setiap hari.
Jadi, apakah makanan tersebut yang perlu diberi perhatian?
Berikut disertakan senarai sembilan makanan tinggi garam yang disarankan untuk dikurangkan pengambilannya.

1. Mi segera
Mi segera menjadi antara makanan perlu dikurangkan kerana kandungan sodium yang tinggi.
Satu paket mi segera mengandungi kira-kira 1,500mg sodium, sedangkan had pengambilan sehari ialah 2,000mg sahaja.
Ini bermakna, sekali makan sahaja sudah menyumbang sekitar 75 peratus daripada had sodium harian.
2. Daging proses
Nuget, sosej, burger dan bebola ikan antara contoh makanan proses yang biasa menjadi pilihan terutama untuk hidangan ringkas.
Bagaimanapun, makanan ini boleh menyumbang jumlah garam yang tinggi dan disarankan supaya dihadkan satu kali seminggu.
Sebagai contoh, tiga keping nuget untuk bekalan anak boleh mengandungi kira-kira 600mg sodium dan itu belum termasuk lagi penggunaan sos.
3. Ikan dan daging dalam tin
Sardin, tuna mayo dan daging cincang dalam tin sering dianggap pilihan mudah kerana boleh disimpan lama.
Kalau anda nak tahu, satu tin kecil makanan ini boleh mengandungi sekitar 800mg garam.
Walaupun ada yang menganggap ikan dalam tin sebagai pilihan baik, kandungan garam tetap perlu diberi perhatian.
4. Keropok ikan dan keropok segera
Keropok sering menjadi kudapan waktu petang, tetapi makanan ringan ini juga termasuk dalam kategori yang tinggi garam.
Satu paket kecil keropok boleh mengandungi sekitar 500mg sodium.
Jika terasa mengidam, sekali sekala boleh gantikan kepada pengambilan snek kacang panggang tanpa garam.
5. Marjerin dan mentega
Roti yang disapu marjerin atau mentega mungkin menjadi menu sarapan biasa.
Untuk pengetahuan, satu sudu marjerin mengandungi kira-kira 100mg sodium.
Jika makan dua keping roti bersama sapuan marjerin, jumlahnya boleh mencecah sekitar 200mg sodium.

6. Sup dan stok sup
Kiub ayam, pes tomyam dan sup segera sering digunakan untuk menaikkan rasa masakan.
Tetapi, satu kiub sup sahaja boleh mengandungi kira-kira 900mg sodium, jadi digalakkan untuk mengambil sebahagian saja.
Jika menggunakan dua kiub untuk mendapatkan rasa yang lebih kuat, jumlah sodium yang diambil juga meningkat.
7. Sos cili dan tomato
Sos yang sering menjadi pelengkap makanan juga termasuk dalam kategori bahan perisa yang mengandungi natrium.
Penggunaan berlebihan boleh menyebabkan jumlah pengambilan garam harian meningkat tanpa disedari.
MENARIK DIBACA: Jumpa bulu dalam gulai, pelanggan serik makan nasi padang... Bumbu Babah beri penjelasan
MENARIK DIBACA: Tip arwah nenek! Nak beli kuali berkualiti cuma perlu periksa satu label, tahan 3 generasi
8. Sos tiram dan kicap
Kicap, sos tiram serta bahan perasa lain seperti serbuk bawang dan garam bawang putih turut mengandungi natrium.
Lebih merisaukan, KKM turut menyatakan bahan perisa seperti kicap, sos tomato, sos cili, sos tiram dan kiub perasa merupakan antara sumber makanan tinggi garam.
Adalah sebaiknya menggantikan pengambilan kicap mahupun sos kepada jenis 'low sodium' manakala serbuk perasa pula boleh menggunakan yang diperbuat 100 peratus cendawan.
9. Roti putih
Roti putih mungkin tidak terasa masin, tetapi ia turut disenaraikan sebagai salah satu kategori makanan yang mengandungi kandungan garam.
Makanan ini juga antara yang biasa diambil setiap hari oleh ramai rakyat Malaysia dan anda boleh menukarkan kepada jenis 'wholemeal'. Jika mahu dimakan bersama marjerin sapu nipis sahaja.
KKM dalam panduan pemakanan menekankan konsep 'reformulasi', iaitu usaha mengurangkan kandungan garam dalam makanan bukannya bermaksud perlu berhenti mengambil makanan tersebut sepenuhnya.
Jadi, langkah yang boleh dilakukan adalah mengurangkan pengambilan makanan tinggi garam serta lebih peka terhadap penggunaan bahan perasa dalam masakan harian.