Wanita muda berdepan prakanser, doktor 'siasat' makanan kerap dimakan zaman belajar
MAKANAN segera sering menjadi pilihan ramai kerana menu itu mudah dinikmati lebih-lebih lagi buat individu mempunyai jadual harian padat.
Bagaimanapun, perkongsian seorang doktor di Threads mengingatkan orang ramai supaya lebih peka terhadap tabiat pemakanan dan kesannya terhadap kesihatan usus.
Dr Mohammad Omar berkongsi pengalamannya selepas selesai membuat pemeriksaan terhadap seorang pesakit wanita berusia 26 tahun.
“Baru lepas habis berjumpa dengan pesakit wanita muda berusia 26 tahun.

“Pesakit berkongsi keputusan kolonoskopi. Terdapat polip berpotensi menjadi kanser dan ia ditemui secara kebetulan,” tulisnya di Threads.
Menurut beliau, pesakit berkenaan menjalani prosedur kolonoskopi kerana mengalami masalah buasir.
“Pesakit menjalani pemeriksaan kerana buasir, tetapi secara kebetulan doktor menemui polip. Keputusan biopsi menunjukkan ia prakanser.
MENARIK DIBACA: 3 kali disebut dalam al-Quran, ini 6 sebab buah delima dianggap 'superfood'
MENARIK DIBACA: Tertelan serpihan lidi sate dalam pesawat, wanita saman syarikat penerbangan
"Pesakit sendiri tak menyangka perkara ini berlaku,” jelasnya.
Menurut doktor tersebut, apabila beliau bertanya mengenai tabiat pemakanan pesakit berkenaan, antara makanan yang kerap diambil ketika waktu belajar di universiti adalah mi segera seperti samyang dan ramen.
"Pesakit ini gemar mengambil makanan segera, pengambilan gula tinggi dan gemar menikmati makanan diproses. Jaga-jaga ya semua," tulisnya.
Perkongsian itu mencuri perhatian netizen, malah ada yang risau melihat tabiat pemakanan generasi muda.
"Tabiat makan kena jaga betul. Makan sihat dan pilih sajian bersih. Makanan segera boleh makan tapi bukan selalu.

"Memang bahaya pengambilan makanan segera dan mi segera.
"Saya sendiri pelik dengan pilihan makanan anak muda, kalau masuk kedai serbaneka penuh makan ramen pedas," komen netizen.
Untuk rekod, kewujudan polip pada usus tidak semestinya bermaksud seseorang menghidap kanser.
Sesetengah jenis polip boleh menjadi prakanser dan berpotensi berkembang menjadi kanser dari masa ke masa, manakala ada juga yang tidak berbahaya.