Tertelan serpihan lidi sate dalam pesawat, wanita saman syarikat penerbangan
SEORANG wanita asal Australia bertindak memfailkan saman terhadap Singapore Airlines (SIA) selepas tertelan serpihan lidi sate ketika menikmati hidangan yang disediakan dalam penerbangan.
Insiden itu dilaporkan berlaku ketika Briohny Smyth, 44, menaiki penerbangan kelas perniagaan dari Singapura ke Los Angeles pada 28 Julai 2024.
Memetik laporan Mothership, dokumen saman yang difailkan peguam Smyth menjelaskan wanita itu dihidangkan sate ayam yang dicucuk menggunakan lidi kayu.

Bagaimanapun, tanpa disedari, terdapat serpihan kayu dipercayai daripada lidi tersebut tersangkut di bahagian tekaknya.
Insiden itu menyebabkan dia mengalami kesakitan sehingga rasa tercekik, batuk, kesukaran bernafas dan kecederaan fizikal.
Dalam tuntutan itu, Smyth mendakwa dia berjaya mengeluarkan serpihan kayu sepanjang 1.5 inci (kira-kira 3.8 sentimeter) selepas batuk berulang kali.
Menurut Smyth yang juga seorang penyanyi profesional, proses mengeluarkan objek itu disifatkan sebagai satu pengalaman menyukarkan sepanjang penerbangan berkenaan.
MENARIK DIBACA: Hampir 19 juta biji telur diarah ditarik balik, disyaki tercemar salmonella
MENARIK DIBACA: Pengkritik makanan kongsi 6 ciri restoran dianggap 'red flag', tak minat nak masuk
Dia turut mendakwa mengalami ketidakselesaan berterusan pada tekak, cepat penat, suara serak, rasa tegang serta sakit apabila bercakap atau menyanyi dalam tempoh yang lama.
Selepas mendapatkan rawatan daripada pakar telinga, hidung dan tekak (ENT), doktor dilaporkan menemui kesan parut dan trauma pada pita suaranya.
Melalui saman tersebut, Smyth menuntut ganti rugi termasuk kos rawatan perubatan terdahulu dan masa depan, kehilangan pendapatan serta keupayaan menjana pendapatan, selain pampasan atas tekanan emosi dan kerugian lain.