'Order' sendiri-sendiri, pemuda bengang kawan suruh bayar bil sama rata - "Aku makan RM16 je"
KALAU sudah lama tidak berjumpa rakan-rakan, pasti peluang itu dimanfaatkan dengan menikmati hidangan bersama sambil berborak panjang.
Tak sah kalau masing-masing tak pesan pelbagai jenis lauk, tahu-tahu meja makan dah penuh dengan makanan.
Itulah apa yang berlaku kepada seorang pengguna TikTok yang meluahkan rasa kurang senang apabila mendakwa dipaksa membayar bil secara sama rata walaupun hanya memesan makanan yang jauh lebih murah.
Menurutnya, jumlah bil makan malam mereka berlima mencecah RM300 dan seorang rakannya mencadangkan supaya jumlah itu dibahagi lima bagi memudahkan urusan pembayaran.
"Kami berlima makan dekat kedai tomyam. Masing-masing 'order' bukan main. Siap tambah sotong, siakap, air balang.

"Aku pula makan nasi goreng kampung dengan teh ais je. Bila nak balik seorang kawan terus cakap bahagi lima.
"Aku tengok bil, RM286. Kalau bahagi lima, seorang kena bayar RM57.20," katanya.
Individu itu bagaimanapun berkeras untuk hanya membayar makanan yang dipesan kerana merasakan cadangan itu tidak masuk akal.
"Terus minta nak bayar yang aku makan je. Meja terus senyap, seorang berseloroh cakap beza RM10-20 je. Mereka cakap kalau berkawan jangan berkira.
"Aku tengok bil, nasi goreng RM13, teh ais RM3. Jumlah aku RM16 je. Aku letak RM20 atas meja," ujarnya.
MENARIK DIBACA: Selesai makan masih lepak, kerusi kosong buat letak barang... Tetamu majlis kenduri dianggap ‘buta adab'
MENARIK DIBACA: Berlima makan 'seafood' di Langkawi harga cecah RM600, pelanggan keliru mahal atau murah
Bagaimanapun, tindakannya itu didakwa mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan rakan-rakannya.
Malah, dia mendakwa seorang daripada mereka memuat naik gambar bersama di media sosial dengan kapsyen yang seolah-olah menyindir dirinya.
"Balik rumah seorang kawan 'upload' gambar kami dengan kapsyen, 'Kawan masa senang ramai, masa susah baru kenal siapa berkira',” kongsinya lagi.
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi daripada netizen yang masing-masing mempunyai pandangan berbeza mengenai situasi tersebut.
Ada yang menyokong tindakannya kerana berpendapat setiap orang sepatutnya membayar mengikut makanan yang dipesan, terutama jika terdapat jurang harga yang besar.

“"Setakat makan RM50 atau RM60 boleh aku 'payung' satu meja. Tapi kalau dah RM286, bayar asing-asing la.
"Dari segi cerita hang, aku bayar apa yang aku makan je. Kalau aku tak usik makanan mahal tadi," antara komen netizen.
Dalam pada itu ada juga netizen yang berpandangan pembahagian bil secara sama rata bukanlah satu masalah jika semua sudah bersetuju dari awal.
"For my circle semua dah faham each other. Apa yang kau makan tu la yang kau bayar. Memang kami akan lebihkan jumlah untuk service tax dan sebagainya.
"Berkiranya... sampai setiap kali makan dengan kawan-kawan nak tanya dulu bayar kongsi ke asing-asing. Tak boleh buat kawan macam ni," kata seorang lagi netizen.