Selesai makan masih lepak, kerusi kosong buat letak barang... Tetamu majlis kenduri dianggap ‘buta adab'
SEORANG lelaki kecewa dengan sikap segelintir tetamu majlis kenduri yang tidak peka dengan keadaan sekeliling sehingga menyusahkan orang lain.
Menerusi perkongsian di Threads, dia berkata masih ramai tetamu enggan bangun dari tempat duduk walau sudah selesai makan, sedangkan ramai lagi tetamu sedang menunggu..
“Boleh tak warga Malaysia kalau pergi kenduri, tak kisah kenduri kahwin atau apa saja, 'normalise' bangun dari kerusi kalau dah habis makan?

“Kerusi untuk orang duduk, bukannya tempat letak barang. Saya sakit hati bila nampak ada orang dukung bayi tapi tetamu lain (sedang duduk) buat tak tahu sambil main telefon,” luahnya.
Menurutnya lagi, situasi menjadi lebih menjengkelkan apabila ada tetamu yang sudah selesai makan terus berbual panjang dan bergosip di meja sedangkan tetamu lain tiada tempat duduk.
MENARIK DIBACA: Isteri pelik suami suka sangat sotong dalam tin, ramai tampil mengaku peminat tegar - "Ketagih dari kecil"
MENARIK DIBACA: 7 tip, pantang larang masak sotong celup tepung! Salutan rangup, tak tertanggal
“Paling geram, yang dah habis makan bukannya nak beredar, tapi terus lepak sembang. Hormatlah tetamu lain yang belum makan,” katanya.
Dalam masa sama, dia mengakui golongan muda kadang-kadang serba salah untuk menegur individu lebih berusia kerana bimbang dianggap biadab atau menghalau tetamu.
“Kadang orang muda susah nak tegur orang lebih tua. Nanti bila ditegur, dikata kurang ajar pula,” ujarnya.

Malah, dia sendiri terpaksa meminta bantuan deejay majlis membuat pengumuman supaya tetamu yang selesai makan memberi laluan kepada mereka yang masih mencari tempat duduk.
Perkongsian itu turut mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya bersetuju isu berkenaan perlu dipandang serius.
“Betapa pentingnya 'common sense'. Kita kalau dah habis makan terus cakap jom balik, orang lain nak duduk pula,” tulis seorang netizen.
Ada juga yang berpendapat tetamu perlu lebih berani untuk bertanya dan meminta tempat duduk dengan cara baik.

“Kalau nak duduk, pergilah tanya elok-elok. Jangan takut atau malu sangat,” komen seorang pengguna media sosial.
Bagaimanapun, ada netizen beranggapan situasi tersebut berlaku kerana jumlah jemputan terlalu ramai berbanding kerusi yang disediakan pihak tuan rumah.
“This is what happens if you invite more people than the seats provided. Dalam sesetengah budaya pula, dianggap kurang sopan jika terus balik selepas makan kerana majlis juga jadi tempat ahli keluarga dan kenalan berkumpul,” tulis seorang lagi warganet.
Selain tetamu, ramai turut berpendapat pengacara majlis dan deejay memainkan peranan penting mengawal keadaan dengan membuat pengumuman secara berkala agar tetamu yang selesai makan memberi ruang kepada orang lain.