Petua kerang 'muntah' lumpur sendiri! Tak perlu sental satu-satu, jimat masa
PROSES membersihkan kerang sebelum dimasak memang mengambil masa lebih-lebih lagi apabila kulitnya dipenuhi lumpur dan pasir.
Malah mencuci kerang adakalanya lebih memenatkan berbanding kerja memasak itu sendiri.
Mana tidaknya, setiap kerang perlu digosok untuk menanggalkan lumpur dan kotoran yang melekat di seluruh permukaan kulitnya.
Belum lagi diambil kira kotoran atau lumpur di dalam cengkerang!
Jika jumlahnya banyak, memang meletihkan.
Menerusi satu video di Tiktok, pemilik akaun dikenali Opah Amina berkongsi petua yang boleh dicuba untuk mengurangkan kerja menggosok kerang satu per satu.
Kaedah ini menggunakan teknik rendaman bagi membantu menyingkirkan kotoran di samping memudahkan proses membilas kerang sebelum dimasak.
Bagi yang ingin mencuba petua ini di rumah, berikut beberapa langkah yang boleh diikuti.

1. Asingkan kerang rosak
Sebelum memulakan proses mencuci, periksa kerang terlebih dahulu.
Asingkan kerang yang kulitnya pecah atau terbuka dan tidak bertindak balas apabila diketuk perlahan.
2. Bekas berisi air
Masukkan kerang ke dalam bekas besar dan isi air bersih secukupnya.
Pastikan bekas mempunyai ruang yang mencukupi supaya kerang tidak terlalu padat.
3. Tambahkan sedikit garam
Terdapat petua yang mencadangkan penggunaan garam kasar ketika merendam kerang.
Bagaimanapun, kadar kemasinan yang sesuai bergantung pada jenis kerang dan keadaan rendaman.
Ingat! Penggunaan garam sahaja tidak mampu mengeluarkan semua pasir atau lumpur yang terperangkap di dalamnya.

4. Rendam seketika untuk singkirkan lumpur
Kerang boleh direndam selama kira-kira 20 hingga 30 minit sebagai langkah awal untuk menyingkirkan kotoran pada kulitnya.
Sepanjang proses ini perhatikan keadaan air. Jika air terlalu keruh, buang air tersebut dan bilas bekas sebelum meneruskan pembersihan.
Jangan biarkan kerang terendam terlalu lama tanpa pemantauan.
MENARIK DIBACA: Masak 10kg udang butter habis licin! Wanita kongsi resipi, tip isi kekal 'juicy'
MENARIK DIBACA: Daun bawang dah 4 hari potong masih segar! Cef kongsi tip elak potongan sayur cepat layu
5. Bilas dan gosok jika perlu
Selepas direndam, angkat kerang dan bilas menggunakan air bersih yang mengalir.
Gosok kulitnya menggunakan tangan atau berus bersih jika masih terdapat lumpur yang melekat.
Ulang proses membilas sehingga kotoran yang kelihatan berkurangan.
6. Tos sebelum dimasak
Setelah selesai dibersihkan, tos kerang dan teruskan dengan proses memasak.
Jika tidak dimasak serta-merta, simpan kerang dalam keadaan sejuk dengan cara yang sesuai dan jangan biarkan terlalu lama pada suhu bilik.