Wanita ajar buat cili kisar tahan berbulan... Amal petua dari bujang sampai dah kahwin, tak pernah rosak!
SAMA ada untuk sambal, rencah tumisan mahupun kuah, cili kisar amat penting sebagai bahan utama yang menaikkan rasa.
Bagaimanapun, ramai bedepan masalah, sama ada cili kisar cepat rosak, berbau atau berkulat walaupun baru beberapa hari disimpan.
Hantaran seorang wanita dikenali sebagai Mermaidolls di Threads nyata mencuri perhatian apabila dia berkongsi cara menghasilkan cili kisar yang dikatakan mampu tahan berbulan lamanya dalam peti sejuk.

Menurutnya, teknik diamalkan sejak zaman bujang itu bukan sahaja menjimatkan masa malah dapat memastikan stok cili di rumahnya sentiasa tersedia tanpa perlu kerap merebus.
"Bertahun-tahun dah saya pakai 'method' ni, sekali buat memang dapat dua hingga tiga bekas dan memang habis guna. Alhamdulillah setakat ni cili kisar saya tak pernah rosak atau berkulat," kongsinya.
MENARIK DIBACA: Jangan buang air rebusan ikan! Wanita kongsi cara buat kolagen untuk kucing, boleh ganti 'wetfood'
MENARIK DIBACA: Kreativiti Sheila Rusly 'angkat' menu biasa ke tahap luar biasa dipuji - "Masak mi segera pun terliur"
Tambahnya lagi, aspek paling penting sebelum memulakan proses adalah menjaga kebersihan.
"First things first, hygiene atau kebersihan. Kalau awak tak jaga benda ni, buatlah guna resipi hebat macam mana pun, cili kisar tetap cepat rosak," tegasnya.
Berkongsi langkah seterusnya, dia mencadangkan agar cili kering digunting kecil bagi memudahkan biji dibuang sebelum direndam dan dikisar.
Untuk satu paket cili kering, katanya, hasil yang boleh diperolehi adalah sehingga dua bekas saiz sederhana besar.

Ringkasan langkah penyediaan:
1. Cili kering digunting kecil bagi memudahkan biji dibuang.
2. Bilas cili guna air paip, sambil diramas-ramas. Tapis, kemudian bilas lagi dalam 4 hingga 5 kali.
3. Bilasan terakhir, gunakan air dari mesin penapis atau air mineral. Kali ini tak perlu ramas cili.
4. Masukkan cili dalam periuk, rebus guna air dari penapis sampai lembut.
5. Sambil tunggu cili direbus, kupas beberapa biji bawang merah dan bawang putih. Tak perlu banyak kerana fungsinya hanya untuk cegah kulat kerana ia bersifat antibakteria dan antikulat.
6. Bilas bersih bawang guna air penapis, kemudian potong kecil dan masukkan dalam blender.
7. Buang air rebusan cili kering yang dah siap direbus tadi, letak air baharu (dari penapis) dalam periuk mengandungi cili supaya cepat sejuk.
8. Selepas sejuk, tapis cili dan masuk dalam blender yang mengandungi bawang telah dipotong.
9. Letak setengah atau satu sudu garam kasar. Garam berfungsi memperlahankan pertumbuhan bakteria.
10. Letak minyak masak dan air dari penapis separuh blender.
11. Kisar cili, letak dalam bekas kedap udara.
12. Simpan dalam peti ais, bahagian chiller. Pastikan sudu kering dan bersih ketika mencedok.
Menurutnya, kaedah ini sangat sesuai untuk mereka yang memasak dalam kuantiti kecil, terutamanya bagi pasangan atau keluarga kecil.
"Saya berdua saja dengan suami, guna sebagai penambah rasa. Masak sambal pun 'portion' kecil. Kalau nak rebus cili setiap kali memang tak larat," katanya.
Perkongsian itu turut mendapat perhatian ramai yang mengakui sering berdepan masalah cili kisar cepat rosak selain rasa yang tidak menepati selera apabila membeli di luar.