Tip rebus brokoli tekstur sempurna, sedap ala rangkaian kafe popular
KALAU makan bebola daging (meatball), selain kentang putar dan sos BBQ, sayur brokoli rebus turut dihidang bersama di dalam pinggan.
Walau hanya direbus kosong tanpa sebarang perasa, sayur hijau ini tetap mempunyai rasa semula jadi yang enak dan sedikit manis.
Jadi tidak hairanlah brokoli rebus enak dimakan begitu sahaja, tak perlu pun makan dengan sos bebola daging.

Menerusi hantaran di laman Threads, seorang pengguna bertanyakan tentang petua menghasilkan brokoli rebus sedap seperti yang dijual di kafe gedung perabot terkenal.
"Macam mana nak masak brokoli sedap macam kat Ikea punya eh? Sis suka gila brokoli dia, setiap kali pergi mesti beli yang 'extra' 1 bowl macam ni!" tulisnya, sambil berkongsi gambar hidangan.
Di ruangan komen, ramai netizen tampil berkongsi ramuan dan teknik rahsia masing-masing yang dikatakan mampu menyedapkan brokoli rebus.
MENARIK DIBACA: Brokoli bantu kawal paras gula pesakit diabetes, tapi teknik memasak kena betul
MENARIK DIBACA: Tumis brokoli cendawan, hidangan bergizi pikat selera anak masa cuti sekolah
Antara tip paling biasa dikongsi ialah teknik rebusan menggunakan air mendidih serta penambahan sedikit garam.
Malah, ada yang menekankan pentingnya tempoh merebus yang singkat bagi memastikan tekstur brokoli tidak terlalu lembik.
“Tunggu air mendidih. Rebus 4 minit tutup periuk. Keluarkan, gaul dengan mentega dan sedikit garam,” kongsi seorang pengguna.
Selain itu, ada juga yang mencadangkan penambahan sedikit minyak dan gula ketika merebus bagi mengekalkan warna hijau brokoli supaya nampak lebih segar.

“Nak dia cantik, guna air mendidih betul-betul. Letak garam sikit, minyak sikit, gula sikit.
"Masukkan brokoli, nampak dah bertukar hijau cantik dalam 2-3 minit, angkat dan terus rendam air sejuk. Tapis dan siap,” tulis netizen lain.
Tidak kurang juga yang menyarankan penggunaan brokoli sejuk beku kerana lebih mudah dan hasilnya tetap sedap jika dimasak dengan cara yang betul.
“Broccoli 'frozen' tu pun boleh. Rebus air sampai betul-betul mendidih, letak garam banyak sikit, kemudian celur 3–4 minit saja,” jelas seorang pengguna.