Semakin banyak makmal buat daging tiruan! Hati-hati membeli, sukar nak beza antara asli dan buatan
PERNAH terbayang tak makan daging ayam atau lembu tetapi sumbernya bukan daripada haiwan yang disembelih?
Itulah antara perkembangan teknologi makanan yang kini semakin menjadi perhatian, menerusi penghasilan lab-grown meat atau cultivated meat.
Menurut pempengaruh perubatan Muhamad Hazwan Nazri atau lebih dikenali sebagai Dr1 Share , daging jenis ini dihasilkan menggunakan sel haiwan yang dibiakkan di dalam makmal.
Sel tersebut diberikan nutrien dan bahan tertentu supaya ia terus membesar sehingga menjadi tisu daging yang boleh dijadikan makanan.
Menariknya, daging ini boleh kelihatan hampir sama seperti daging biasa sehingga sukar dibezakan hanya dengan melihat fizikalnya.
"Daging ini memang nampak macam daging lembu betul, nampak macam daging ayam betul. Padahal ini bukan daripada ayam dan bukan daripada lembu (yang disembelih) tetapi daripada makmal," katanya.

Jelasnya, teknologi berkenaan dibangunkan bagi mengurangkan kebergantungan kepada penternakan dan penyembelihan haiwan, selain berpotensi menggunakan sumber yang lebih sedikit dalam penghasilan makanan.
Beliau bagaimanapun mempersoalkan adakah daging yang dihasilkan dalam makmal itu benar-benar mempunyai kelebihan dari segi nutrisi berbanding daging daripada haiwan sebenar.
Menurutnya, terdapat perbandingan yang menunjukkan daging dihasilkan daripada sel ayam mempunyai kira-kira 9.63 gram (g) protein bagi setiap 100g manakala ayam sebenar mengandungi sekitar 23g protein bagi setiap 100g.
MENARIK DIBACA: Sajian istimewa di hati... Wanita kongsi cara buat nasi ulam, aroma harum sukar nak tolak
MENARIK DIBACA: Wanita rindu susu segar UK hantar depan pintu rumah, beli 'fresh milk' tempatan rasanya jauh beza!
"Daging daripada sumber haiwan lebih tinggi protein berbanding dengan daging makmal," katanya.
Beliau turut menyifatkan perkembangan teknologi tersebut sebagai sesuatu yang perlu diberi perhatian kerana masih banyak perkara yang belum diketahui mengenai kesan jangka panjangnya.
"Benda baru jadi tak banyak kajian lagi. Itu yang paling menakutkan," katanya.

Dalam perkongsian sama, beliau turut mendakwa teknologi berkenaan kini sudah berkembang di negara jiran seperti Singapura, dengan beberapa syarikat terlibat dalam menghasilkan daging menggunakan kaedah tersebut.
Antara produk yang terlibat termasuklah daging ayam, lembu, ikan dan babi.
Pada masa sama, beliau mengingatkan semua pengguna supaya lebih berhati-hati terhadap sumber makanan yang diambil.
Katanya, perkembangan teknologi makanan yang semakin berkembang menyebabkan pengguna perlu mengetahui dari mana makanan berasal sebelum mengambilnya.
"Kita tak tahu sama ada daging yang kita makan ini daging yang betul-betul disembelih ataupun daging datang daripada makmal," katanya.