Anak beli mi goreng RM1 'ciput' macam 'tester', bapa cuma mampu doa peniaga dapat hidayah
SEORANG bapa meluahkan rasa terkejut selepas melihat saiz sebungkus mi goreng berharga RM1 yang dibeli oleh anaknya ketika pulang dari sekolah yang dianggap terlalu sedikit dan tidak berbaloi.
Menerusi hantaran yang dikongsikan di Threads, lelaki tersebut memuat naik sekeping foto mi goreng yang dibungkus dalam plastik dengan kuantiti sangat sedikit yang dibeli dari sebuah kedai runcit berhampiran rumahnya.
"Anak beli masa balik sekolah. Ni RM1. Mi goreng plastik dah berevolusi, makin kecil tapi ada sudu cucuk-cucuk. Dulu-dulu gigit kat bawah buat lubang lepas tu sedut sikit-sikit," tulisnya dalam hantaran tersebut.

Selepas membaca pelbagai komen netizen yang turut mempersoalkan kuantiti makanan tersebut, dia mengambil keputusan untuk mendapatkan kepastian daripada anaknya.
"Risau tengok komen. So double confirm dengan anak betul ke ni RM1, ya betul RM1. Tanya lagi jika dia dah makan sikit sebelum masuk kereta, dia cakap belum makan, masuk kereta baru makan," katanya.
Susulan kejadian tersebut, lelaki itu cuma berharap agar peniaga mi berkenaan mendapat kesedaran sekali gus mengambil kira kuantiti makanan yang dijual, khususnya kepada kanak-kanak sekolah.
"Tak apa la, doa semoga penjual tu diberikan hidayahlah," ujarnya.
MENARIK DIBACA: Kafe letak anak singa sebagai tarikan, pelancong cedera digigit
MENARIK DIBACA: Bukan cuma dada ayam, ramai tak tahu bahagian 'thigh' juga tinggi khasiat
Perkongsian tersebut kemudian menarik perhatian ramai netizen dengan rata-rata menganggap saiz sebungkus mi goreng yang dijual terlalu kecil untuk harga RM1.
Tidak kurang juga netizen yang berpandangan penjual seolah-olah tidak berhati perut dengan menjual makanan sebegitu untuk kanak-kanak.
"Mahal peniaga tak ada hati perut, macam letak 'tester' je jual kat budak-budak sekolah.
"Macam sikit sangat pula RM1 dapat banyak tu. Kesian budak-budak. Tengok macam goreng balik dengan tumisan bawang dan kicap je," antara komen pengguna Threads.

"Untung betul orang berniaga macam ni ya, berkat ke tak duit tu agaknya. Tak sanggup nak tengok anak Melayu kita yang beli support perniagaan macam ni. Peniaga nak keuntungan tanpa fikir kuantiti dan kualiti makanan," kata seorang pengguna media sosial.
Isu tersebut turut membuka ruang kepada perbincangan mengenai persepsi pelanggan terhadap nilai makanan yang dibeli.
Bagi sesetengah pelanggan, jumlah makanan yang dibeli perlu sekurang-kurangnya kelihatan munasabah dengan harga yang dibayar, walaupun nilainya cuma RM1.