Anak minta ibu buat bekal khas untuk ustazah kesayangan, ramai puji bento nasi lemak comel
BUKAN nilai sesuatu hadiah yang membuatkan hati seseorang tersentuh, sebaliknya pemberian disusuli ingatan ikhlas adalah lebih bermakna.
Begitulah kisah dikongsikan seorang ibu di Threads apabila anaknya meminta dibuatkan bekal bento nasi lemak khas untuk diberikan kepada ustazah di sekolah.
Perkongsian itu meraih perhatian ramai selepas dia memuat naik gambar nasi lemak berbentuk comel bersama tangkap layar perbualan dengan guru berkenaan.
Menurutnya, dia menggunakan cawan untuk membentuk nasi manakala bahagian telinga pula dibuat menggunakan sudu sukatan gula bagi menghasilkan rupa lebih menarik.

"Menangis ustazahnya pagi-pagi dapat bento nasi lemak comel. Anak yang seorang tu sibuk suruh buatkan untuk ustazah dia," tulisnya.
Menerusi tangkap layar dikongsikan, jelas kelihatan ustazah tersebut begitu terharu menerima pemberian daripada anak muridnya itu.
Tulis ibu itu, bento itu diminta anaknya, Areez kerana ada pertandingan di sekolah seorang lagi anaknya.
MENARIK DIBACA: Makanan dalam peti sejuk asyik lesap bagai jadi 'adat' di rumah sewa, ramai beri idea ajar pelaku!
MENARIK DIBACA: Wanita 30-an risau wajah mula nampak tua, 'berdesup' netizen kongsi tip pemakanan elak kulit berkedut
Rata-rata netizen turut tersentuh melihat usaha si ibu memenuhi permintaan anak selain memuji hasil bento berkenaan.
"Comelnya Areez, mesti dia sayang betul dengan ustazah dia tu kan.
"Alolo Areez comel, ibu Areez comel, ustazah pun comel," antara komen netizen.
Malah ramai turut menyifatkan wanita berkenaan sebagai ibu yang kreatif dan penyayang kerana sanggup meluangkan masa menyediakan bento tersebut.
"You are supermom.
"Aww comel… nak makan pun sayang," komen seorang lagi pengguna media sosial.

Tidak kurang juga yang mengakui penyediaan bento seperti itu memerlukan kesabaran dan ketelitian tinggi.
"Ni memerlukan kegigihan… comel betul," ujar seorang netizen.
Perkongsian itu sekali lagi membuktikan bahawa perhatian kecil dan pemberian ikhlas mampu meninggalkan kesan besar kepada seorang pendidik.
Malah bagi ramai netizen, hubungan rapat antara guru, murid dan ibu bapa seperti inilah yang menjadikan momen di alam persekolahan lebih bermakna dan sukar dilupakan.