Kebun impian jadi realiti! Peguam kongsi tip tanaman 'gemuk', subur di laman rumah
SIAPA tidak teruja melihat hasil tanaman sayur-sayuran yang diusahakan di halaman rumah tumbuh subur dan hasilnya 'meriah'.
Itulah perasaan seorang wanita yang juga merupakan peguam apabila berkongsi hasil tanaman sayur-sayuran yang diusahakan di halaman rumahnya sejak empat tahun lalu.
Menerusi perkongsian Izfa Nurulain Izzati dalam Threads miliknya, ibu kepada tiga cahaya mata itu gembira apabila keringat yang menitis daripada aktiviti berkebun tidak berakhir dengan sia-sia.
Dalam hantaran yang dimuat naik, Izfa berkongsi hasil tuaian pelbagai jenis sayur yang ditanam di halaman rumahnya.

"Akhirnya saya ada kebun impian sendiri. Semua usaha yang saya curahkan daripada hati akhirnya berbalas.
"Saya sangat teruja melihat kerja keras selama ini akhirnya membuahkan hasil. Alhamdulillah," tulisnya.
Menerusi beberapa keping foto yang dikongsikan, sayur-sayuran yang ditanam semuanya nampak 'menjadi' dengan susunan tapak teratur.
Sekali pandang, kawasan itu nampak tak ubah seperti kebun milik petani sepenuh masa.

Antara tanaman yang diusahakan seperti cili, tomato, bendi, terung, kubis, kacang panjang, bayam merah, kacang botol, kangkung, sawi dan lobak.
Kata Izfa, dia menganggap berkebun bukan sekadar hobi semata-mata, sebaliknya mampu menjadi terapi untuk diri sendiri, selain dapat mendekatkan diri dengan alam.
"Berkebun merupakan ativiti yang menyeronokkan kerana kita dapat mendekati alam.
"Aktiviti ini bukan saja mengajar kita erti bersyukur, tetapi juga menjadi terapi untuk mengurangkan stres dan anxiety.
"Bila kita sedih, tegok hasil bercucuk tanam pun boleh buat hati bahagia," ujarnya.
MENARIK DIBACA: Masak sendiri ayam masak hitam, terubat sedikit rindu masakan ibu di kampung
MENARIK DIBACA: [V] Dari kejadian tak disengajakan 30 tahun lalu, kafe ini jual kopi termahal di dunia RM2,475 secawan
Melihat pada hasil tanamannya yang sihat dan subur, Izfa berkata awalnya dia menggunakan baja najis ayam sebelum beralih kepada baja lain dua tahun lalu.
"Awalnya saya pakai baja najis ayam. Cuma sejak dua tahun lalu, saya pakai baja udang.
"Manakala untuk kawalan serangga saya cuma pakai cuka kayu.
"Saya memang tidak meracun sebab takut jejaskan kesuburan tanah," kongsinya.

Sempat berkongsi tip untuk tanaman kekal subur, Izfa berkata persekitaran yang bersih merupakan antara faktor penting yang perlu dititik beratkan.
"Nak dapatkan hasil sayur yang elok, kena pastikan persekitaran sentiasa bersih.
"Jangan ada rumput supaya bila membaja, kegunaannya dapat pada sayuran secara optimum," jelas Izfa.
Tidak hanya sayur-sayuran, Izfa juga dilihat menanam beberapa jenis buah-buahan seperti buah naga dan beri hitam, nangka dan limau kasturi

Di ruangan komen, ramai netizen turut berkongsi rasa teruja melihat hasil sayur-sayuran yang dituai walaupun hanya ditanam di halaman rumah.
"Ya Allah sukanya saya tengok.
"Impian saya nak ada kebun seperti ini.
"Banyaknya hasil, seronok tengok," antara komen netizen.