Mat salih kena 'scam' di negara sendiri! 'Fish and chips' disangka ikan kod, rupanya patin murah
HELAH licik beberapa restoran di England yang menggantikan penggunaan ikan cod kepada ikan patin dalam hidangan 'fish and chips' akhirnya terbongkar.
Memetik laporan BBC, siasatan mendedahkan modus operandi tersebut diguna pakai peniaga demi mengaut keuntungan lebih.
Hidangan tradisional itu yang sinonim dengan ikan laut seperti kod atau haddock digantikan dengan ikan patin yang harganya jauh lebih murah.
Dalam siasatan yang dilakukan, BBC dengan kerjasama Liverpool John Moores University menjalankan ujian DNA terhadap sampel ikan dari beberapa kedai 'fish and chips'.

Hasil ujian mendapati tiga daripada 10 sampel yang diuji menunjukkan penggunaan 'pangasius' atau lebih dikenali sebagai ikan patin.
“Kami menggunakan kaedah DNA barcoding untuk mengenal pasti spesies, dan hasilnya menunjukkan tiga sampel 'fish and chips' menggunakan ikan patin,” ujar wakil penyelidik.
Jika dilihat dari segi tekstur, ikan patin yang merupakan spesis air tawar mempunyai isi yang lebih lembut, berserat halus serta sedikit rasa manis berbanding ikan laut.
Walaupun popular di Asia Tenggara, penggunaan ikan patin dalam hidangan 'fish n chips' di England menimbulkan persoalan, terutama dari segi keaslian rasa dan kualiti makanan.
MENARIK DIBACA: Ramai rasa tertipu dapat tahu dori dimakan, dipuji enak selama ini sebenarnya ikan patin!
MENARIK DIBACA: [V] Mak-mak mesti suka, 7 produk seafood sejuk beku ini mudahkan kerja memasak
Dari sudut harga pula, perbezaannya sangat ketara.
Ikan patin dijual sekitar £3.40 (RM18) sekilogram, manakala ikan kod boleh mencecah sehingga £15 (RM80) sekilogram.
Jurang harga ini dipercayai menjadi pendorong utama segelintir pengusaha atau peniaga untuk menggantikannya tanpa memaklumkan kepada pelanggan.
Kes ini turut mencetuskan reaksi daripada pihak berkuasa makanan di England yang menegaskan bahawa sebarang maklumat palsu pada label makanan merupakan satu kesalahan serius.
Tegas mereka, tindakan mengelirukan pengguna bukan sahaja melanggar undang-undang perlindungan pengguna, malah boleh dikenakan denda atau hukuman lain jika disabitkan kesalahan.