ZUS Coffee buka outlet pertama di Jakarta, sedia bersaing dengan jenama kopi tempatan
SELEPAS berjaya menawan hati masyarakat Malaysia dengan kopinya sejak 2019, jenama tempatan, ZUS Coffee meluaskan empayar dengan membuka cawangan pertama di Indonesia.
Memilih pusat beli-belah terkemuka, Puri Indah Mall, di Jakarta Barat, ZUS Coffee mengambil langkah berani untuk bersaing dengan jenama kopi tempatan, sekali gus bercita-cita menawan hati penggemar minuman itu dari negara jiran.
Menerusi perkongsian di Instagram rasmi ZUS Coffee Indonesia, majlis pelancaran (grand opening) cawangan pertama Zus Coffee di Puri Indah Mall diadakan pada 30 Mei 2026 dengan 500 cawan minuman ikonik mereka, Spanish Latte diberikan secara percuma.

"Hola ZUSsies! Dah bersedia untuk rasai Spanish Latte dengan kelas tersendiri, khusus di pelancaran ZUS Coffee Puri Indah Mall.
"Kami 'upgrade' biji kopi menggunakan Premium Kenya Beans.
"Rasanya lebih 'fruity', 'bold' dan jauh lebih eksklusif!" menurut hantaran tersebut.
Kehadiran ZUS Coffee dalam pasaran Indonesia turut disambut baik oleh warga tempatan, terutama bagi mereka yang pernah merasai sendiri aroma dan kelazatan kopi tersebut sewaktu berkunjung ke Malaysia.
MENARIK DIBACA: [V] Ramai sanggup beratur panjang demi nasi goreng 'simple', tukang masak tak menang tangan
MENARIK DIBACA: Aqasha handal masak ikan sichuan, belajar dengan ibu masa zaman bujang
Menurut seorang individu, pembukaan kedai pertama ZUS Coffee di Jakarta sememangnya sudah lama ditunggu-tunggu, malah ada di antara mereka menyeru agar ia turut dibuka di kota-kota lain.
"Akhirnya! Tak sabar nak beli Corn Latte anda!
"Buka juga cawangan di Surabaya.
"Yahoo!!! Semoga rasanya sama enak seperti di Malaysia," antara komen netizen.

Sementara itu, seorang pengguna Threads memberitahu, ZUS Coffee tidak sendirian di pasaran Indonesia kerana ia berkolaborasi dengan konglomerat kopi paling besar di Indonesia iaitu Kapal Api Group.
Kerjasama antara kedua-dua jenama itu sekali gus memberi kekuatan buat ZUS Coffee bagi memperkukuhkan jenama mereka untuk bersaing dengan jenama-jenama kopi tempatan.
Untuk info, Indonesia merupakan negara keenam selepas ZUS Coffee membuka kedai kopi mereka di Singapura, Brunei, Filipina, Thailand dan Pakistan dengan melibatkan lebih 1,000 buah outlet.