Siram air panas cepat lembut tapi daging jadi liat, ini 2 cara ‘defrost’ paling selamat
PROSES melembutkan atau nyahbeku (defrost) daging sebenarnya tidak boleh diambil mudah agar ia dapat dimasak dengan sempurna dan selamat dimakan.
Walaupun kelihatan mudah tapi ramai terlepas pandang mengenai cara melembutkan daging dengan betul agar kualiti, rasa dan teksturnya tidak terjejas.
Antara kaedah biasa dilakukan adalah dengan meletakkan daging beku ditempat terbuka atau ia disiram dengan air panas agar cepat lembut.
Tapi sebenarnya proses itu boleh menyebabkan daging menjadi liat, kurang masa dan lebih parah ia terdedah kepada pencemaran bakteria.
Jangan bimbang, Kuali akan kongsi dua kaedah untuk melembutkan atau defrost daging yang bukan sahaja mudah tetapi cepat dan selamat.

1. Menyahbeku daging menggunakan ketuhar gelombang mikro
Penggunaan teknologi seperti ketuhar gelombang mikro dapat menjimatkan masa untuk mencairkan daging beku.
Untuk hasil lebih cepat, potong daging kepada bahagian kecil sebelum dibekukan bagi mempercepatkan proses nyahbeku berlaku iaitu hanya memakan tempoh 10 minit.
Gunakan fungsi ‘nyahbeku’ (defrost) dan laraskan masa mengikut berat daging.
Kaedah ini bagaimanapun kurang sesuai untuk ketulan daging besar kerana haba yang digunakan agak rendah.

2. Mencairkan daging dengan air sejuk
Jika tiada ketuhar gelombang mikro di rumah, kaedah paling berkesan untuk mencairkan daging beku adalah dengan merendamkan ia di dalam air sejuk.
Masukkan daging beku yang masih dalam bungkusan atau plastik kedap udara ke dalam bekas berisi air sejuk. Pastikan ia tenggelam sepenuhnya.
Tukar air setiap 30 minit untuk mengekalkan suhu sejuk dan mempercepatkan proses pencairan.
Tempoh pencairan bergantung kepada saiz daging, tetapi biasanya mengambil masa sekurang-kurangnya satu jam.
Kebiasaannya, daging yang telah dicairkan masih boleh disimpan di dalam peti sejuk selama tiga hari.