Nampak macam rempah biasa, tapi rupanya kaskas ada ‘kisah gelap’ tersembunyi
PERNAH dengar tak rempah kaskas yang sering digunakan dalam masakan berlemak seperti kari India?
Walaupun kecil saiznya, biji kaskas menyimpan pelbagai keistimewaan dan kisah menarik jarang diketahui ramai.
Tak ramai yang tahu bahawa biji kaskas berasal daripada bunga popi iaitu tumbuhan yang juga menjadi sumber kepada bahan narkotik seperti morfin.
Menarik bukan? Ini Kuali senaraikan 5 fakta menarik kaskas yang mungkin anda tak tahu.

1. Mengandungi narkotik dan berasal dari pokok popi
Kaskas berasal daripada tumbuhan Papaver somniferum iaitu bunga popi yang juga menjadi sumber bagi bahan narkotik seperti morfin dan heroin.
Namun, penting untuk diketahui bahawa biji kaskas tidak mengandungi unsur narkotik dalam jumlah berbahaya.
MENARIK DIBACA: Tapai pulut asyik tak menjadi, ada pantang jangan dilanggar
MENARIK DIBACA: Kepala santan rahsia keenakan boko ubi kayu, manis dan berlemak
Kandungan bahan aktif (alkaloid) di dalamnya sangat kecil dan tidak memberikan kesan ketagihan.
Setelah bunga popi matang dan kering, bijinya dituai untuk digunakan sebagai rempah atau hiasan makanan.

2. Penambah rasa dalam masakan
Selain memberi aroma unik, kaskas kaya dengan pelbagai khasiat pemakanan.
Ia mengandungi sekitar 40–50 peratus minyak semula jadi yang terdiri daripada asid lemak sihat seperti asid linoleik dan oleik.
Dalam dunia masakan, kaskas sering digunakan untuk menambah tekstur dan rasa pada makanan.
Dalam komuniti India, kaskas menjadi bahan penting untuk memberi rasa lemak berempah dalam hidangan bersantan terutamanya hari.

3. Mempengaruhi ujian darah
Inilah fakta yang paling mengejutkan ramai orang.
Walaupun tidak berbahaya, biji kaskas sebenarnya boleh menyebabkan keputusan positif palsu dalam ujian dadah terutamanya bagi bahan seperti morfin.
Ini kerana biji tersebut secara semula jadi mengandungi sedikit sisa alkaloid opium yang boleh dikesan dalam sistem badan untuk tempoh singkat.
Walaupun kesannya kecil, pengambilan kaskas yang banyak sebelum ujian boleh menyebabkan bacaan mengelirukan.

4. Khasiat kesihatan
Kaskas bukan sekadar bahan masakan kerana ia mempunyai nilai ubatan dalam perubatan tradisional.
Biji ini dipercayai membantu melegakan batuk, sakit kepala dan masalah penghadaman ringan.
Bukan itu sahaja, kaskas membekalkan protein, serat, kalsium serta zat besi yang baik untuk tubuh.
Kandungan lemak baiknya juga membantu menjaga kesihatan jantung dan kulit.
Cecair opium diambil daripada kapsul belum matang tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya kerana mengandungi bahan narkotik yang dikawal ketat di seluruh dunia.

5. Risiko pengambilan kaskas?
Walaupun selamat digunakan dalam masakan, penggunaan kaskas tetap perlu dilakukan dengan pengetahuan yang betul.
Di beberapa negara termasuk Malaysia, penggunaannya dikawal kerana kekeliruan antara biji kaskas dengan bahan mentah untuk opium.
Penggunaan secara sederhana tidak mendatangkan masalah namun elakkan daripada pengambilan berlebihan atau membeli daripada sumber tidak diketahui.