Peniaga diberi 'amaran' henti promosi produk di media sosial, pesaing anggap 'sailang' bisnes
DALAM dunia perniagaan, persaingan adalah perkara biasa dan setiap peniaga harus menjadikannya pemangkin untuk terus berusaha.
Seorang peniaga puding dari Dungun, Terengganu, meluahkan rasa terkejut apabila menerima mesej daripada individu tidak dikenali memintanya supaya berhenti membuat promosi di Threads atas alasan mengganggu jualan pihak lain.
Dikenali sebagai Shaa, katanya, dia langsung tak mengenali individu berkenaan dan tidak menyangka usahanya mencari rezeki dengan berniaga kecil-kecilan boleh menimbulkan rasa kurang senang kepada orang lain.
Menurutnya, tidak semua tempahan pelanggan menjamin dirinya meraih keuntungan besar kerana ada kalanya hasil jualan hanya cukup untuk meneruskan hidup.

“Bukan semua yang nampak ‘ramai order’ tu bermakna untung besar, kadang cukup-cukup je untuk terus hidup dan tak menyusahkan orang lain.
“Saya berniaga sebab nak cari rezeki halal, bukan nak jatuhkan sesiapa,” tulisnya menerusi hantaran tersebut.
MENARIK DIBACA: Jangan buang air rebusan ikan! Wanita kongsi cara buat kolagen untuk kucing, boleh ganti 'wetfood'
MENARIK DIBACA: [V] Ramai sanggup beratur panjang demi nasi goreng 'simple', tukang masak tak menang tangan
Tambahnya lagi, dalam mencari rezeki, dia hanya menjalankan perniagaan seperti biasa dengan membuat promosi secara sederhana tanpa berniat untuk menjejaskan pendapatan sesiapa.
“Untuk awak yang PM saya tu, terima kasih juga ya tegur saya.
“Tapi saya berniaga kecil-kecil macam ini je, cukup-cukup untuk makan. Saya cuma usaha dan promosi macam biasa.
“Harap awak faham, kita masing-masing cari rezeki,” katanya lagi.

Di ruangan komen, Shaa menjelaskan dia tidak mengetahui siapa individu yang menghantar mesej tersebut dan memilih untuk menyekat nombor berkenaan kerana enggan melayan perkara yang dianggap tidak berfaedah.
“Saya tak tahu siapa individu ini, tiba-tiba datang 'warning' macam ini. Saya dah sekat nombor sebab tak kuasa nak melayan,” tulisnya.
Perkongsian itu mendapat perhatian ramai netizen yang rata-ratanya berasa pelik dengan tindakan individu tersebut, malah ada yang menasihatkannya supaya lebih berhati-hati dengan sikap iri hati orang sekeliling.
“Jaga-jaga. 'Start' dari cemburu ni la akan jadi lebih teruk. Atau paling teruk, sihir. Lebih baik pasang pendinding rumah 'just in case',” komen seorang pengguna.

Selain itu, ramai juga tampil memberikan kata-kata semangat serta menawarkan sokongan dengan membeli puding yang dijualnya.
“Up je awak tiap jam. Semoga rezeki awak mencurah-curah, semoga tiap hari banyak order sampai awak kene hire pembantu, semoga dengan rezeki puding je boleh bantu lunaskan hutang-hutang dan bahagiakan diri dan keluarga.
“Lagi dia cakap begitu, lagi ramai la orang order dengan akak ni. Harga puding berapa kak?” tulis seorang netizen.
Persaingan yang sihat sepatutnya mendorong untuk menjadi lebih baik, bukannya menimbulkan dengki.