Jangan tertipu! Sebelum beli belajar dulu cara bezakan sos tiram, sos perisa tiram
PERNAH tak anda terfikir adakah sos tiram yang digunakan selama ini benar-benar diperbuat daripada tiram?
Sos tiram ialah perasa serbaguna yang diperbuat daripada ekstrak tiram untuk memberikan rasa umami, masin dan sedikit manis untuk membangkitkan keenakan pada masakan.
Selalunya sos tiram akan digunakan untuk masakan seperti sayur, bahan perapan daging atau ayam, campuran sos pencicah dan penambah rasa dalam masakan berkuah.
Di pasaran, terdapat pelbagai jenama sos tiram dijual dengan harga berbeza bergantung pada kualiti dan jumlah peratusan ekstrak tiram yang terkandung dalam sos tersebut.

Menerusi satu hantaran dalam Threads, seorang pengguna berkongsi perbezaan beberapa jenama sos tiram bukan sahaja dari segi harga tetapi juga jumlah peratusan ekstrak tiram digunakan.
"Aku nak kongsi ilmu sos tiram. Korang mesti ingat sos tiram semuanya sama. Malangnya tidak.
"Ada sos tiram dan ada sos berperisa tiram, kau kena tengok molek-molek," katanya.
Sebagai contoh, pengguna tersebut memberikan perbandingan tiga jenis sos tiram daripada satu jenama popular dari segi perbezan harga dan peratusan ekstrak tiram.
MENARIK DIBACA: Sotong goreng kunyit elok kejadian! 'Jaga' api, tempoh masak agar tak liat dan kecut
MENARIK DIBACA: 6 bahan dapur ini bantu kurangkan pedih ulser, sembuh lebih cepat
"Botol tengah ialah sos berperisa tiram dengan ekstrak empat peratus tiram berharga RM6.95.
"Kemudian ada sos tiram dengan ekstrak 11 peratus tiram (RM9.65) dan sos tiram premium (40 peratus tiram) berharga RM16.50.
"Jadi jangan ingat sos berperisa tiram sama macam sos tiram. Tak sama langsung sebab banyak karamel," jelasnya.

Sebagai perbandingan lain, pengguna tersebut memberitahu terdapat sos tiram yang memiliki ekstrak cukup rendah iaitu cuma 0.3 peratus sahaja.
"Jadi aku dah rasa tertipu sebab beli murah, ingatkan betul sos tiram tapi rupanya cuma perasa sahaja.
"Sikit sangat tiramnya, karamel sahaja yang banyak," kongsinya.
Untuk info, sos tiram berkualiti tinggi biasanya lebih pekat dan kaya dengan ekstrak tiram, manakala versi ekonomi teksturnya lebih 'ringan' dan mirip rasa kicap pekat.