KUALI | Trending

"Orang India tak boleh makan" - Netizen harmoni selesai 'isu' bubur lambuk, siap 'offer' tolong masak

Lead Image

BULAN Ramadan sememangnya sinonim dengan juadah bubur lambuk di mana aromanya cukup harum membangkit selera.

Bubur lambuk yang dimasak dengan santan dan daging lembu sebagai ramuan utamanya ini cukup digemari ramai khususnya masyarakat Melayu, jadi tidak hairanlah bubur lambuk dijadikan makanan untuk tujuan sedekah dan banyak dijual di merata tempat.

Bagaimanapun, tiada salahnya jika ada kaum lain ingin mencuba hidangan ikonik Ramadan ini. 

Seorang pengguna Threads bukan beragama Islam berkongsi pengalamannya ingin mencuba bubur lambuk tetapi 'dihalang' justeru dia menghadapi sedikit kekeliruan.

Bubur lambuk sangat terkenal dengan campuran campuran isi daging mahupun ayam.

"Hai semua saya nak tanya sikit, bubur lambuk ni khas untuk orang Melayu sahaja ke sebab dah lama teringin nak cuba?

"Tadi ternampak kat bazar bila saya tanya mak cik yang jual dia cakap orang India tak boleh makan. Saya pun segan nak tanya kenapa, jadi saya hanya cakap okay terima kasih makcik.

"Saya cuma ingin tahu dan juga nak rasa sama ada bubur lambuk ni rasa macam bubur biasa ke atau ada kelainan," katanya.

MENARIK DIBACA:  3 kaedah cabut bulu kaki guna bahan-bahan dapur, jimat duit tak perlu 'waxing' di kedai

MENARIK DIBACA: Kuih sopang tak kurang enak, sekali pandang ramai sangka badak berendam

Disebabkan situasi dialaminya itu, dia mengambil keputusan untuk mendapatkan penjelasan di media sosial. 

Menerusi ruangan komen, ramai netizen berkongsi pandangan dan memberi penjelasan bahawa makcik itu sekadar menjalankan tanggungjawabnya sebagai peniaga untuk menghormati pelanggan agama lain kerana bubur lambuk biasanya mengandungi daging lembu.

Juadah yang paling dicari-cari ketika Ramadan.

"Kebanyakan bubur lambuk biasanya mengandungi daging lembu sebab itulah makcik tu cakap begitu, lebih kepada langkah berjaga-jaga. Bubur lambuk ni macam bubur biasa tapi ada rasa rempah-rempah. Tapi saya rasa ada juga versi yang dibuat dengan ayam atau tanpa sebarang protein cuma kena tanya dulu untuk pastikan.

"Boleh je awak nak makan. Makcik tu cakap orang India tak boleh makan mungkin sebab bubur lambuk tu ada daging lembu. 

"Makcik tu cuma menghormati kepercayaan awak, kalau nak awak boleh dapatkan bubur lambuk yang tak letak daging lembu," antara komen netizen.

Antara komen netizen di laman Threads wanita tersebut.

Bagaimanapun sebagai alternatif, ramai juga tampil mencadangkan kepada wanita itu untuk mencuba variasi bubur lambuk dari negeri lain dan tak kurang juga bertanyakan lokasi dirinya kerana ingin menyediakan hidangan itu dengan daging ayam.

"Saya rasa awak boleh cuba bubur lambuk Terengganu sebab bubur lambuk Ganu biasanya letak ikan dan daun kayu sahaja, tak ada daging. Percayalah, saya pernah tinggal lama di Kedah, Kuala Lumpur, Sarawak, Terengganu dan kadang-kadang pergi Perak sepanjang Ramadan...bubur lambuk Ganu memang yang terbaik!

"Awak boleh cuba bubur lambuk asli Terengganu… isinya ikan dan tujuh jenis daun kayu seperti dalam gambar ni. Sedap gila! Kalau tak makan sayur pucuk kayu pun tetap sedap sebab semuanya dicampur dengan baik jadi rasa buburnya lagi mantap.

"You duduk mana? Kalau dekat I boleh buatkan bubur lambuk ikan, yang biasa bulan puasa kebanyakan ada daging, susah jumpa ayam," antara cadangan netizen.

Ada juga yang menyarankan supaya dia pergi ke Masjid India, Kuala Lumpur yang dikatakan menyediakan bubur lambuk dengan daging ayam.

"Kalau awak di KL boleh cuba pergi ke Masjid India. Mereka bagi bubur lambuk setiap petang sepanjang Ramadan tapi rasanya lebih kepada gaya India dengan ayam, bukan bubur lambuk asli yang kita biasa makan," komen netizen.

Dalam pada itu, ramai juga menyatakan rasa lega apabila isu melibatkan agama dan kepercayaan kaum lain ini diselesaikan secara harmoni.

"Bila terbaca Threads yang satu ni comel sangat, orang Melayu komen tanpa fikir isu besar, semua nak membantu sebab dia teringin makan bubur lambuk.

"Saya suka apabila perkara ini diselesaikan dengan komunikasi yang baik tanpa salah faham. Jadi untuk 'selamat' lebih baik buat sendiri atau tempah khas daripada peniaga.

"Dalam tu ada daging lembu sayang, kita pun jaga makanan orang bukan Muslim, tak nak diaorang termakan sesuatu yang haram untuk diaorang makan. We love our non Muslim friends juga," antara komen warganet.

 

bell-light

Jadilah sebahagian daripada geng Kuali! Follow kami di Instagram, TikTok, YouTube dan Facebook

ARTIKEL SEBELUM
KUALI | Trending

Wanita terharu jumpa nasi goreng cili kering tumbuk dimasak seikhlas hati, rupanya ramai iktiraf sedap!

ARTIKEL BERIKUT
KUALI | Trending

"Tunjuklah hasil, berani sahut?" - Jofliam cabar pembuat piza tandingi kejayaannya

Terhangat