Leka minum sambil tengok TV, ibu terpaksa jolok tekak anak 4 tahun tercekik sudu plastik
SUDU plastik mungkin nampak biasa dan tidak berbahaya, tetapi sebenarnya ia juga boleh mengundang kemalangan tidak disangka.
Lebih-lebih lagi jika diberikan kepada kanak-kanak yang ada tabiat menggigit sudu tanpa sedar ketika makan atau minum.
Seorang wanita berkongsi detik cemas yang dialaminya apabila anak perempuan berusia empat tahun hampir tercekik selepas menggigit sudu plastik.
Menurutnya, ketika itu anaknya sedang leka minum air sambil menonton televisyen, manakala dia hanya memerhati dari jauh.

Namun tiba-tiba, dia menyedari ada yang tidak kena selepas anaknya mula batuk dan memegang tekak sebelum melihat kulit wajah bertukar pucat.
"Anak saya umur 4 tahun dok leka minum air milo guna cawan pakai sudu. Aku tengok je la dari jauh dia minum sambil tengok TV. Tiba-tiba dengar dia batuk-batuk dan pegang tekak, muka berubah.
"Pastu tengok-tengok sudu ni dah patah hujungnya. Terus aku jolok weh mulut dia nak bagi dia muntah dan keluarkan serpihan hujung sudu tu," ceritanya.
Perkara itu dikongsikan wanita tersebut menerusi satu hantaran di laman Threads yang menceritakan kejadian berkenaan.
MENARIK DIBACA: Awas! 5 makanan ini boleh buat anak tersedak, ibu bapa kena beri lebih perhatian
MENARIK DIBACA: Brokoli bantu kawal paras gula pesakit diabetes, tapi teknik memasak kena betul
Bagaimanapun, wanita itu mula rasa tidak sedap hati apabila melihat serpihan sudu yang keluar kelihatan kecil dan tidak sepadan dengan bentuk sudu yang patah.
Bimbang masih ada serpihan tertinggal, dia sekali lagi cuba mengeluarkan objek berkenaan.
"Tak boleh jadi ni, kena cari lagi mana serpihan sudu ni sebab tak complete. Takut sangkut kat tekak sebab muka dia macam menahan sakit.
"Aku jolok lagi dan paksa dia muntah. Alhamdulillah weh keluar jugak lebihan serpihan tu.

"Cukup! Lega rasa. Aduhai anak, kenapa la pergi gigit sudu plastik tu," kongsinya.
Menjengah ke ruangan komen, ramai netizen memuji tindakan pantas ibu tersebut menyelamatkan anaknya sebelum keadaan menjadi lebih serius.
Dalam masa sama, ada juga yang mengingatkan ibu bapa supaya lebih berhati-hati memberi sudu plastik kepada kanak-kanak kerana enggan kejadian sama berulang kembali.