Awas! 5 makanan ini boleh buat anak tersedak, ibu bapa kena beri lebih perhatian
TERSEDAK bukan perkara biasa dalam kalangan kanak-kanak namun keadaan itu boleh bertukar menjadi situasi mencemaskan dan meragut nyawa.
Ramai ibu bapa menyangka makanan diberikan selamat, tapi sebenarnya terdedah kepada risiko tersedak terutamanya bagi mereka di bawah usia lima tahun.
Sebab itu, wujudnya cadangan khusus dalam penyediaan makanan kanak-kanak termasuk dari segi cara memasak dan tekstur makanan disesuaikan mengikut peringkat usia.
Tujuan utamanya, bagi memastikan makanan mudah dikunyah, ditelan dan selamat dimakan tanpa risiko tersedak.

Bagi bayi berusia enam hingga lapan bulan, tekstur makanan sebaiknya halus atau bubur lembut kerana otot mulut dan kemampuan mengunyah masih belum berkembang sepenuhnya.
Pada usia ini, makanan seperti bubur nasi dicairkan, buah-buahan seperti pisang atau epal kukus serta sayur dilenyek halus adalah pilihan terbaik.
Apabila meningkat usia sembilan hingga 12 bulan, tekstur boleh dipertingkatkan kepada makanan yang sedikit berketul dan lembut seperti nasi lembut, sayur kukus dipotong kecil
atau roti lembut direndam.
Ini membantu menggalakkan proses mengunyah dan koordinasi pergerakan mulut serta tangan mereka.
MENARIK DIBACA: Air coklat campur buah-buahan cetus letupan rasa dalam mulut, buat penghilang dahaga dalam cuaca panas
MENARIK DIBACA: Bukan main bau dan agak-agak saja! Nak isi cantik ‘check’ 8 perkara ini sebelum beli durian
Apabila kanak-kanak mencecah usia setahun ke atas, barulah boleh mula diberi makanan pejal namun dalam saiz kecil dan lembut.
Tetapi, ibu bapa masih perlu elak menyajikan makanan keras, berentuk bulat, kenyal atau melekit seperti kacang, gula-gula keras dan popcorn.
Makanan jenis itu mudah tersekat di saluran pernafasan dan berisiko tinggi menyebabkan tersedak jika tidak dikunyah dengan betul.

1. Kekacang
Kacang tanah, badam, pistachio antara kekacang bersaiz kecil tapi keras.
Bila dimakan tanpa dikunyah sempurna tetapi boleh tersangkut di saluran pernafasan anak.
Lebih baik elak beri kacang sepenuhnya kepada anak dibawah usia lima tahun dan gantikan dengan mentega kacang halus tanpa ketulan.

2. Anggur
Buah anggur dikenali dengan khasiat kandungan anti oksidan dan Vitamin C tinggi bagi membantu meningkatkan imunisasi anak.
Namun, bentuk buah itu kecil, licin dan bulat, sempurna untuk menyumbat saluran pernafasan jika ditelan terus.
Jika ingin dihidangkan kepada anak, boleh potong buah itu melintang kepada empat bahagian.

3. Sosej
Sosej mudah dimakan tapi berisiko tinggi sebab teksturnya yang kenyal dan silinder.
Kaedah pemotongan disarankan adalah memanjang dan nipis bukan sekadar bulat.
Boleh juga masak sosej terlebih dahulu agar ia mudah dikunyah anak.

4. Gula-gula Keras
Gula-gula keras tidak larut dengan cepat dan boleh melekat dalam kerongkong anak, terutamanya jika ditelan tanpa sedar.
Jangan beri gula-gula keras kepada anak kecil. Banyak lagi pilihan snek alternatif yang lembut dan mudah cair dalam mulut.
Gantikan dengan gula-gula alternatif buatan sendiri seperti buah kering lembut, titisan yogurt beku lebih enak dan menyegarkan selain khasiat membantu kesihatan anak.

5. Lobak Mentah
Sayur keras dan rangup seperti lobak jika dimakan mentah boleh menyukarkan anak mengunyah, berisiko tersedak jika dikunyah separuh.
Tip senang kukus atau rebus lobak hingga lembut sebelum diberi atau potong halus seperti parutan.
Selain itu, elakkan beri anak makan sambil berlari, bermain atau berbaring.