Ibadah ikut kemampuan,konsep‘ Re:Charge’ Muslim Pro bantu umat Islam kekal fokus sepanjang Ramadan
RAMADAN sering dianggap sebagai bulan untuk memperbaharui azam dan memperkukuh hubungan dengan Allah.
Namun dalam realiti kehidupan moden yang padat dengan tuntutan kerja, keluarga dan komitmen sosial, tidak semua mampu mengekalkan rentak ibadah konsisten dari hari pertama hingga akhir.
Melihat kepada cabaran ini, Muslim Pro memperkenalkan inisiatif ‘Ramadan Re:Charge’ iaitu satu usaha yang menekankan konsep ‘reset’ rohani secara berperingkat dan berterusan bukan sekadar bermusim.
Pendekatan ini menekankan perjalanan amalan keimanan individu berbeza dan konsistensi yang tidak semestinya kesempurnaan.

Daripada menetapkan sasaran terlalu tinggi, Ramadan Re:Charge memberi penekanan kepada penglibatan mengikut kemampuan masing-masing.
Sama ada seseorang ingin memperbanyakkan bacaan al-Quran, meluangkan masa mendengar tadabur atau sekadar memperuntukkan beberapa minit sehari untuk refleksi diri, pendekatan ini membuka ruang untuk semua.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Muslim Pro, Nafees Khundker menjelaskan bahawa matlamat utama inisiatif ini adalah untuk menyokong umat Islam secara realistik.
MENARIK DIBACA:Elok makan telur kalau kena bisul, bukan penyebab jangkitan lambat sembuh
MENARIK DIBACA: Mulut bau bangkai walaupun jaga kebersihan oral, hati-hati 5 penyakit ini boleh jadi punca
“Kami memahami bahawa Ramadan bukan berlaku dalam ruang kosong. Ia hadir bersama tanggungjawab harian dan sokongan yang diberikan perlu selari dengan realiti kehidupan sebenar,” katanya.
Al-Quran kekal menjadi tunjang utama pengalaman Ramadan dalam aplikasi tersebut.
Dengan ciri seperti sasaran bacaan yang boleh disesuaikan, fungsi audio, penanda ayat dan kemudahan nota refleksi, pengguna boleh membina rutin fleksibel tanpa tekanan untuk memenuhi jangkaan tertentu.

Menurut Nafees Khundker, kandungan reflektif turut diperluaskan melalui Qalbox, platform penstriman dalam aplikasi Muslim Pro.
“Pendekatan penceritaan termasuk siri pendek yang sesuai ditonton dalam masa terluang.
“Di Malaysia, penonton boleh mengikuti siri pendek ‘Light of Transit’ di samping karya yang lebih mendalam seperti ‘The Olive Tree That Remembered’ hasil kerjasama dengan Yayasan Restu,” kongsinya lagi.
Dengan lebih sejuta pengguna aktif di Malaysia, Muslim Pro melihat negara ini sebagai antara komuniti paling dinamik dalam mengadaptasi teknologi untuk pengukuhan keimanan.
Muslim Pro terkenal dengan aplikasi menyokong keperluan ibadah pengguna melalui waktu solat yang tepat beserta penjejaknya, azan, bacaan penuh audio al-Quran, kompas qiblat, kalendar Hijri, pengiraan zakat, serta kandungan berinspirasikan gaya hidup.
