KUALI | Video

Pesta moreh kerang, hidangan unik setahun sekali orang Parit Buntar

ALANG-alang berada di kawasan utara tanah air, rugi jika anda tak singgah ke Laman Moreh untuk pekena kerang rebus atau bakar yang jadi fenomena setiap kali tibanya Ramadan.

Uniknya Laman Moreh, ia hanya dibuka setahun sekali pada Ramadan bagi menambahkan kemeriahan bulan penuh barakah ini. 

Popular sebagai 'port makan kerang santai di utara' Laman Moreh ibarat sebuah pesta makanan terutamanya selepas tarawih.

Selain kerang, terdapat banyak jenis siput 'rare' turut tersedia dan anda hanya perlu tepuk dada tanya selera, pilih mana satu yang mahu dicuba.

Antara yang dijual termasuklah kerang bulu, kepah, sudu, gayam, duri, lokan, unam dan kapis.

Kerang dan siput ini dimakan bersama kuah kacang, bukan sos seperti mana kebiasaan.

Keenakan makanan lain yang dijual di sini tak perlu dipertikaikan kerana setiap peniaga sudah melepasi 'standard' yang ditetapkan pihak penganjur.

Antara hidangan yang patut dicuba termasuklah apam balik, kuih cara 'crispy', cucur udang, bihun sup, char kue tiau, tauhu bergedil, sate dan banyak lagi.

Lebih menarik, suasana makan di sini amatlah santai, sesuai untuk setiap lapisan umur pelanggan dengan banyak meja disediakan.

Paling penting servis di sini pantas, pelanggan tak perlu menunggu lama untuk makanan dihidangkan dan tak susah nak cari 'parking'.

Kerang Ramadan satu tradisi

Aktiviti makan kerang dan aneka siput sebenarnya sudah menjadi tradisi Ramadan bagi penduduk sekitar Parit Buntar dan daerah Kerian, Perak sejak zaman berzaman.

Tidak hanya lokasi makan kerang yang mucul setahun sekali, restoran atau kedai makan yang selama ini tidak pernah menawarkan menu kerang rebus juga tidak ketinggalan menawarkan hidangan ini kepada pelanggannya.

Kini acara makan kerang ibarat satu fenomena apabila ia menjadi snek selepas tarawih popular bukan sahaja untuk penduduk setempat, tetapi juga masyarakat yang tinggal di sempadan Kedah serta Pulau Pinang, tak kurang juga orang luar.

INFO

Laman Moreh

Dewan Serbaguna Seri Ampangan, Nibong Tebal, Pulau Pinang. (sempadan Perak - Parit Buntar)

Waktu Operasi: Sepanjang Ramadan, 8.30 malam - 1 pagi

 

bell-light

Jadilah sebahagian daripada geng Kuali! Follow kami di Instagram, TikTok dan Facebook

Video Popular