Warga asing kantoi berendam dalam bekas air, buat guna cuci sayur sebelum jual - “Terus kembang rasa tekak”
KESELAMATAN makanan bukan hanya bergantung ketika fasa penyediaan atau kebersihan dapur semata-mata, sebaliknya cara bahan mentah dibersihkan antara perkara tidak boleh dipandang ringan.
Bahan mentah seperti sayur-sayuran dan buah-buahan perlulah dicuci dengan bersih dan mengikut prosedur yang betul sebelum dijual atau dihidangkan kepada pelanggan.
Baru-baru ini, tular di media sosial satu video memaparkan aksi seorang warga asing berendam di dalam bekas air yang digunakan untuk mencuci sayur-sayuran di sebuah kebun.

Tindakan ini menimbulkan rasa tidak selesa dan jijik, apatah lagi air tersebut dipercayai digunakan untuk mencuci hasil tanaman sebelum dijual kepada orang ramai.
Melihat situasi berkenaan, seorang lelaki dipercayai warga tempatan tampil menegur dan memarahi tindakan warga asing terbabit.
Dalam video tersebut, lelaki berkenaan meluahkan rasa tidak puas hati sambil mempersoalkan tahap kebersihan air yang digunakan.
"Macam ni boleh ke? Awak kencing dalam ini bukannya orang tahu. Macam ini ke kau kerja bagi orang Malaysia makan?" tegurnya dengan nada marah.
MENARIK DIBACA: Bekas pekerja asing buka restoran ala ‘kedai tomyam’ di India, usaha perkenal pelbagai menu Malaysia dapat pujian
MENARIK DIBACA: 28 tahun minum susu lembu mentah, warga emas dijangkiti tibi
Susulan teguran tersebut, warga asing berkenaan segera keluar dari tangki air terbabit dan memohon maaf atas perbuatannya.
Bagaimanapun, dia menafikan dakwaan bahawa dirinya membuang air kecil di dalam tangki berkenaan.
Sepanjang dimarahi oleh lelaki tempatan itu, warga asing terbabit bersama seorang lagi rakannya yang dipercayai turut bertugas mencuci dan menyusun sayur-sayuran dilihat hanya berdiam diri.
Setakat ini, tarikh serta lokasi sebenar kejadian tersebut berlaku tidak dinyatakan.

Menjengan ke ruangan komen, rata-rata netizen turut meluahkan rasa geli melihat tidakan warga asing tersebut.
Malah, ada yang menggesa pihak berkuasa perhatian serius bagi memastikan keselamatan dan kebersihan makanan sentiasa terjamin.
"Mesti dah selalu dia buat macam itu. Terima kasih tegur, tapi sepatutnya suruh dia buang air dalam bekas itu.
"Alamak sayur bayam itulah kegemaran aku, terus rasa geli nak makan," komen netizen.